Tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April tahun lalu, masih meninggalkan kesan mendalam buat seorang ibu apabila insiden itu bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah hampir meragut nyawa ahli keluarganya.
Lebih memilukan, Nurul Adilah Ahmad, turut kehilangan bayi dalam kandungan tidak lama selepas kejadian tersebut.
Baca juga: Bersedia Hadapi Cuaca Panas Melampau, Malaysia Bakal Dilanda El-Nino Terpanas Dalam Sejarah!
KESAN LETUPAN PUTRA HEIGHTS MERAGUT NYAWA BAYI DALAM KANDUNGAN

Gambar Aswadi Alias: Mangsa, Nurul Adilah Ahmad, 33 bersama anaknya Muhammad Umar Aryan Muhamad Hairul, 3 dengan menunjukkan cedera akibat melecur di tangan kirinya pada tinjauan insiden menjelang genap setahun peristiwa letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Kehilangan bayi jadi luka paling perit selepas tragedi
Wanita berusia 33 tahun itu berkongsi bahawa ketika tragedi berlaku, dia sedang hamil enam bulan dan kandungannya sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat hasil pemeriksaan berkala.
Mengimbau kembali detik menyedihkan itu, wanita tersebut berkata keadaan mula berubah kira-kira sebulan selepas insiden letupan berkenaan. Dia menerima berita yang amat sukar diterima apabila doktor memaklumkan keadaan bayi dalam kandungannya semakin kritikal.
“Sebelum tragedi berlaku, saya menjalani pemeriksaan berkala bagi kandungan dan dimaklumkan bahawa bayi (dalam kandungan) sihat.
“Namun sebulan selepas kejadian itu (tragedi letupan), saya dimaklumkan doktor pakar bahawa bayi dalam kandungan mengalami ‘fetal hydrop’ selepas badan dan otaknya dipenuhi cecair,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, baru-baru ini.
Lebih menyedihkan, tidak lama kemudian dia dimaklumkan bahawa bayi tersebut telah meninggal dunia dalam kandungan. Berita itu menjadi detik paling sukar dalam hidupnya sebagai seorang ibu.
Menurutnya, setiap kali mengingati peristiwa tersebut, perasaan sedih dan kehilangan masih terasa sehingga hari ini.
“Sejujurnya, setiap kali saya teringat kejadian berkenaan (letupan) pasti saya teringat arwah bayi dikandung,” luahnya.

Gambar fail Eizairi Shamsudin: Keadaan kebakaran membabitkan saluran paip gas sepanjang 500 meter di stesen minyak di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, tahun lalu.
Anak masih trauma setiap kali melihat api
Selain kehilangan bayi, tragedi itu turut memberi kesan emosi kepada anak sulungnya yang ketika itu masih kecil. Kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan melecur di tangan akibat bahang api ketika kejadian berlaku.
Sehingga kini, anaknya masih menunjukkan tanda trauma setiap kali melihat api atau terdengar bunyi kuat.
“Sehingga kini, anak ada masih trauma apabila melihat api. Setiap kali dia lihat api, anak akan ingat semula kejadian itu. Dia akan cakap api menyebabkan tangannya cedera (akibat melecur),” kongsinya.
Malah, ibu tersebut sendiri mengakui masih berasa cemas apabila terdengar bunyi yang kuat seperti mercun atau letupan.
Keluarganya juga masih berdepan kesan trauma apabila mudah terkejut setiap kali terdengar bunyi kuat. Malah, emosi mereka menjadi lebih sensitif setiap kali mengenang kehilangan yang dialami.
Walaupun berdepan pengalaman pahit, wanita itu tetap bersyukur kerana dirinya dan keluarga terselamat dalam tragedi tersebut.
“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak meragut nyawa kami walaupun kereta rosak dan cair akibat bahang api kebakaran,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, Nurul Adilah berkata, dia dan suaminya, Muhamad Hairul Abdul Rahim, 35, yang bekerja sebagai pengurus pegawal keselamatan akan pulang ke kampung di Kuala Lipis, Pahang.
“Sambutan hari raya Aidilfitri diraikan secara sederhana selepas apa yang berlaku pada tahun lalu (tragedi letupan),” katanya.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Aswadi Alias
