Setiap kali Ramadan tiba, antara persoalan yang sering timbul dalam kalangan wanita ialah hukum berpuasa bagi ibu hamil dan ibu yang sedang menyusukan anak. Ada yang bimbang tentang keadaan diri sendiri, ada juga yang risaukan kesihatan bayi jika tetap berpuasa.
Dalam Islam, syariat memberikan kelonggaran kepada golongan ini. Namun, cara menggantikan puasa yang ditinggalkan boleh berbeza bergantung kepada keadaan tertentu.
Baca juga: Ibu Tak Perlu Bayar Fidyah Jika Tak Sempat Ganti Puasa Kerana Mengandung & Menyusu – Mufti WP
QADA DAN FIDYAH BAGI IBU HAMIL & MENYUSU
Secara umumnya, terdapat tiga situasi utama yang sering dibincangkan oleh para ulama.
1. Ibu hamil atau menyusu bimbang keadaan diri sendiri sahaja

Foto: Gemini AI
Jika seorang ibu hamil atau menyusukan anak tidak berpuasa kerana bimbang terhadap kesihatan dirinya sendiri, maka hukumnya ialah:
Wajib qadha puasa sahaja apabila sudah mampu berpuasa pada hari lain.
Keadaan ini disamakan dengan orang yang sakit. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka wajib baginya berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah Al-Baqarah, ayat 184)
Ulama terkenal, Ibnu Qudamah, menjelaskan bahawa tidak terdapat perselisihan dalam kalangan ahli ilmu mengenai perkara ini kerana wanita hamil dan menyusu yang bimbang kesihatan dirinya dianggap seperti orang sakit.
2. Bimbang keadaan diri sendiri dan bayi

Foto: Gemini AI
Dalam keadaan ini, ibu merasakan bahawa puasa boleh membahayakan dirinya dan juga bayi. Hukum bagi situasi ini juga sama seperti keadaan pertama iaitu:
Wajib qadha puasa sahaja tanpa fidyah.
Menurut Imam Nawawi, para ulama mazhab Syafie bersepakat bahawa wanita hamil atau menyusukan anak yang bimbang puasa boleh memudaratkan dirinya atau dirinya bersama bayi, dibenarkan berbuka dan hanya perlu menggantikan puasa tersebut pada hari lain.
3. Bimbang keadaan bayi sahaja

Foto: Gemini AI
Keadaan ketiga berlaku apabila seorang ibu sebenarnya mampu berpuasa, tetapi dia tidak berpuasa kerana bimbang puasa tersebut akan memberi kesan kepada bayi, contohnya:
- Mengurangkan susu badan
- Memberi kesan kepada kesihatan bayi
Dalam situasi ini, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama.
Pendapat Pertama: Qadha Sahaja
Sebahagian ulama berpendapat ibu hanya perlu mengqadha puasa sahaja, kerana wanita hamil dan menyusu disamakan dengan orang sakit yang dibenarkan berbuka.
Pendapat ini merupakan pandangan jumhur ulama dan juga pandangan yang kuat dalam mazhab Syafie.
Pendapat Kedua: Fidyah Sahaja
Ada juga ulama yang berpandangan bahawa ibu hanya perlu membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
Antara dalil yang digunakan ialah riwayat daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa wanita hamil dan menyusu yang bimbang terhadap anaknya boleh berbuka dan memberi makan kepada orang miskin.
Sekiranya masih ragu-ragu tentang keadaan diri, ibu hamil atau menyusu disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor serta rujukan daripada pihak berautoriti agama bagi memastikan ibadah yang dilakukan selari dengan syariat.
Baca juga: Ibu Hamil Tak Puasa Sebab Risaukan Kandungan, Perlukah Fidyah? Ini Jawapan Ustazah Asma Harun
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus dan Muslimah
FT Image: Freepik
