Isu murid Tahun 1 kembali menjadi perhatian apabila beberapa guru meluahkan kebimbangan terhadap tahap kemahiran asas pelajar sesi persekolahan kali ini.
Walaupun penekanan terhadap kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) semakin kuat, ada aspek lain yang dilihat semakin merosot.
ISU KEMAHIRAN MOTOR HALUS MURID TAHUN 1 MEMBIMBANGKAN

Gambar hiasan: Gemini AI
Perkongsian di Threads memaparkan luahan guru-guru yang mendapati ramai pelajar sukar melakukan perkara asas seperti menggunting, mengoyak kertas malah mengupas buah.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar tentang tahap kesediaan sebenar anak-anak sebelum melangkah ke alam sekolah rendah.
Penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sememangnya menjadi tunjang utama pendidikan awal. Namun pada masa sama, kemahiran motor halus juga sangat penting kerana ia menyokong perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak.
Seorang guru berkongsi kebimbangannya di Threads,
“Tekankan kemahiran 3M itu memang betul dah, tapi tahu tak, kemahiran motor halus budak-budak sekarang sangat membimbangkan ya.
“Gunting kertas guna gunting pun susah, itu belum suruh potong kertas guna pembaris,” luahnya.
Baca juga: Viral Senarai Sekolah Padat Sampai Ada 58 Murid Sekelas! Ibu Bapa Luah “Macam Mana Jadi Begini?”
LEMAH KEMAHIRAN MOTOR HALUS SEMAKIN MEMBIMBANGKAN
Luahan itu turut dipersetujui ramai pendidik yang berdepan pengalaman sama.
“Sangatlah setuju. Tahun ini paling mencabar keimanan saya bila ramai pelajar Tahun 1 saya tidak boleh pegang gunting, koyak kertas, apatah lagi kupas kulit buah.
“Anak tuan puan mungkin bijak bestari dari segi 3M, tapi dari segi mendengar arahan, kemahiran motor halus dan pengurusan emosi semuanya boleh dikatakan masih lemah,” ujar pendidik lain.
“Pahit tapi benar. Ini realiti yang ramai rakan pendidik hadapi bila terima murid Tahun 1 sekarang ramai yang ‘bijak’ skrin tapi ‘struggle’ nak guna gunting atau pegang pensel dengan kemas.
“Kadang-kadang kita terlepas pandang, aktiviti harian macam butangkan baju atau koyak kertas itu sebenarnya latihan motor halus yang sangat hebat sebelum mereka mula menulis,” seorang lagi pengguna menambah.
“Betul sangat. Kadang itu rasa macam pelik dan berfikir sendiri. Kenapa budak-budak ini susah nak guna gunting? Nak lekatkan benda mudah pun perlukan bantuan. Tak kecam cuma pelik,” tidak kurang juga yang meluahkan rasa hairan.
“Betul itu, sekarang ramai terus fokus 3M tapi ‘otot tangan’ tak sedia lagi. Pegang gunting pun ‘struggle’ sebab motor halus belum kuat.
“Sebab itu kemahiran macam koyak kertas, picit playdough, tampal pelekat itu semua jauh lebih penting,” seorang guru lain yang turut menegaskan.
Baca juga: Guru Posting Di Kawasan Pedalaman Jangan Putus Asa, Cikgu Otai Kongsi Tip ‘Survive’ Di Sana

Gambar hiasan: Gemini AI
PERBANYAKKAN AKTIVITI FIZIKAL BERSAMA ANAK-ANAK
Dalam masa sama, beberapa individu turut berkongsi idea untuk membantu meningkatkan kekuatan fizikal dan motor halus anak-anak.
Berdasarkan pandangan yang dikongsikan, antara cadangan utama ialah memperbanyakkan aktiviti fizikal dan permainan yang dapat menguatkan otot bahu serta tangan anak-anak.
Antara aktiviti yang dilihat mampu membantu perkembangan motor halus secara semula jadi seperti:
- Memanjat
- Melompat
- Merangkak
- Bermain playdough
- Mengoyak kertas
- Menampal
- Melakukan tugasan ringan di rumah
Di mana, perkembangan kanak-kanak tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata.
Kesediaan fizikal, kawalan emosi dan keupayaan mengikuti arahan asas juga merupakan elemen penting sebelum mereka benar-benar bersedia menerima pembelajaran formal di dalam bilik darjah.
Pendekatan yang lebih seimbang antara akademik dan permainan fizikal mungkin dapat membantu murid Tahun 1 membina asas yang lebih kukuh untuk jangka panjang.
Jangan hanya fokus akademik semata-mata
Isu ini bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan bersama bahawa perkembangan kanak-kanak perlu seimbang.
Akademik penting, namun kemahiran asas seperti memegang pensel, menggunting dan mengawal pergerakan tangan juga merupakan asas penting sebelum proses pembelajaran formal bermula.
Mungkin sudah tiba masanya ibu bapa dan pendidik kembali memberi ruang kepada anak-anak untuk lebih banyak bermain secara fizikal, meneroka persekitaran dan menguatkan koordinasi badan, bukan sekadar mengejar silibus semata-mata.
Sumber: Threads @aflahrusdi
FT Image: Gemini AI
