Sejak disahkan menghidap kanser otak tahap empat, Rafa Alauddin Abdul Rauf, 6, kini mengalami buta dan menjalani ratusan rawatan demi mengekang tumor di belakang kepalanya.
Ibu Rafa, Noor Amira Saad, 31, berkongsi kisah penuh haru bagaimana mereka terus berjuang untuk anaknya.
Baca juga: [VIDEO] Anak Murid Kelas ‘Belakang’ Hadiahkan Motosikal, Momen Cikgu Hidupkan Enjin Buat Ramai Sebak
RAFA ALAUDIN KINI BUTA, JALANI 170 KIMO AKIBAT KANSER OTAK

Gambar Zuliaty Zulkiffli: Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (belakang) bersama Rafa Alauddin Abdul Rauf, 6, yang kini buta akibat kanser otak dan ibu bapa kanak-kanak itu pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pesakit Kanser Zon Utara anjuran Cancer Survivor Malaysia (CSM).
Perjuangan panjang keluarga
“Anak saya disahkan buta dan tiada lagi peluang untuk dia melihat semula disebabkan tumor di belakang kepalanya masih ada dan berukuran dua sentimeter.
“Namun kami terus berusaha membawanya membuat rawatan dan setakat ini dia sudah menjalani lebih 170 kali kemoterapi sejak 2024,” katanya.
Rafa telah menjalani tiga pembedahan bagi membuang cecair di kepala pada 2022 hingga kini dan sepatutnya tempoh rawatan kemoterapi hanya dua tahun. Namun, kini melebihi tiga tahun kerana keadaan kesihatan yang kritikal.
“Disebabkan tempoh kemoterapi sudah lebih, dia tidak lagi sesuai menjalani pembedahan dan perlu makan ubat untuk mengurangkan sel kanser itu kerana berisiko jika buat pembedahan.
“Rafa dijangka akan habis rawatan kemoterapi Mac ini dan selepas itu saya dan suami (Abdul Rauf Nordin, 31) akan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan ubat itu,” kata Noor Amira.

Cabaran harian keluarga
Ibu Rafa, yang turut mempunyai seorang lagi anak, Nurul Alya Shifa, 7, menjelaskan perjalanan rawatan anaknya memerlukan mereka berulang-alik dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap minggu dan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) mengikut nasihat doktor.
Katanya lagi, jika sekali lihat, anaknya kelihatan seperti tidak sakit tetapi jika duduk di hadapannya, dia tidak nampak langsung.
Suami Noor Amira terpaksa berhenti kerja hampir setahun bagi menemani rawatan Rafa.
“Sekarang suami dah kerja semula sebagai pengawal keselamatan sekolah tetapi pendapatannya hanya sekadar cukup makan,” ujarnya.
Sebagai seorang ibu, Noor Amira sentiasa berdoa,
“Sebagai ibu, saya sentiasa berdoa supaya ada keajaiban buat anak supaya dia dapat melihat semula kerana tak sampai hati melihat keadaannya selain kerap mengadu sakit kepala mungkin akibat tumor di kepalanya itu, “ katanya.
Baca juga: Ibu Dipercayai Keluar Beli Makanan, Anak 4 Tahun Maut Dalam Kebakaran PPR Kampung Muhibbah
Bantuan komuniti meringankan beban
Dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Pesakit Kanser Zon Utara anjuran Cancer Survivor Malaysia, seramai 150 pesakit kanser menerima barangan keperluan dapur, biskut raya dan duit raya.
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya dan Pengerusi CSM, Zuraini Kamal.
Noor Amira mengucapkan terima kasih atas bantuan CSM yang dapat meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri. Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Noor Amira Saad 02105023168544 Bank Islam.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Zuliaty Zulkiffli (Harian Metro)
