Tindakan sesetengah pihak yang mengadakan aktiviti mengejutkan orang ramai untuk bangun sahur secara beramai-ramai dilihat boleh menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat.
Isu ini menjadi perhatian selepas tular satu video memaparkan sekumpulan individu memukul gendang sambil berselawat bagi mengejutkan penghuni sebuah kawasan perumahan dipercayai di Balakong, Kajang.
Baca juga: Adat Perkahwinan Melayu Berbeza Dengan Sunnah Islam, Amalkan Yang Betul Baru Bahagia…
KEJUT BANGUN SAHUR GUNA GENDANG, JANGAN NORMALISASIKAN DI MALAYSIA

Perbuatan tersebut dikatakan bertujuan mengejutkan penduduk apartmen untuk bangun bersahur sepanjang Ramadan.
Susulan itu, pendakwah dan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin, Muhamad Rozaimi Ramle, tampil memberikan pandangan berhubung perkara berkenaan.
Menurut beliau, amalan sedemikian tidak wajar dijadikan budaya di negara ini kerana berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Tambahnya, bukan semua individu diwajibkan untuk bangun bersahur seperti wanita dalam keadaan haid atau nifas, kanak-kanak kecil, selain ibu bapa yang mempunyai bayi dan memerlukan rehat mencukupi.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama, justeru sebarang tindakan yang boleh mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat bukan Islam perlu dielakkan.
“Islam sendiri tidak pernah mensyariatkan perbuatan sedemikian,” jelasnya menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak mempersoalkan laungan azan dua kali pada waktu Subuh, azan pertama sebagai peringatan sebelum masuk waktu dan azan kedua apabila masuk waktu sebenar kerana perkara itu mempunyai sandaran dalam syariat.
Namun tegasnya, budaya yang tidak dianjurkan agama tidak sepatutnya diperluaskan. Mengulas lanjut, beliau turut memetik pandangan tokoh ulama silam, Ibn Jawzi, yang pernah menegur amalan membaca al-Quran di menara tinggi pada waktu malam sekiranya ia mengganggu orang lain yang sedang berehat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar lebih peka dan tidak mempraktikkan perkara yang boleh menimbulkan salah faham terhadap Islam, khususnya dalam konteks kehidupan bermasyarakat yang majmuk di negara ini.
@drrozaimiramleofficialVideo ini bukan di Indonesia, tapi berlaku di negara kita. Dulu kita selalu tengok perkara ini berlaku di negara jiran, sekarang sudah masuk sedikit demi sedikit ke negara kita. Dr Rozaimi Ramle♬ original sound – DrRORA
Sumber: TikTok Dr Rozaimiramleofficial
