Biarpun sudah berniat puasa pada malam hari, ada segelintir individu yang tidak kisah meninggalkan waktu sahur dek kerana memilih untuk tidur.
Tanpa sedar, mereka telah rugi kerana terlepas keberkatan yang ada di dalam sahur itu, biarpun ia merupakan perkara sunat yang digalakkan dan tidak berdosa untuk meninggalkannya.
Baca juga: Hukum Melakukan Onani (Melan***) Di Siang Hari Ramadan, Boleh Terbatal Puasa Ke?
KEBERKATAN DALAM WAKTU SAHUR
Hal ini kerana, Nabi SAW sendiri menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya. Sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Bersahurlah, kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.” Riwayat al-Bukhari (1923)
Selain itu juga, bersahur ini merupakan pembeza di antara puasa orang islam dan puasa ahli kitab. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Amr bin al-‘As R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” Riwayat Muslim (1096)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, maknanya ialah perbezaan yang paling ketara antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab adalah bersahur. Hal ini kerana mereka tidak bersahur, sedangkan orang Islam disunatkan untuk bersahur. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/207)
Baca juga: 5 Tips Ibu Bekerja Pam Susu Badan Sambil Puasa, Susu ‘Maintain’ Melimpah Ruah & Badan Tak Penat!
Keberkatan dalam sahur
Dikatakan bahawa ‘keberkatan’ itu ialah apa yang mencakupi daripada perbuatan bangun dan berdoa ketika sahur. Namun, pendapat yang lebih utama bahawa keberkatan dalam sahur dapat diperolehi atau terhasil dari sudut yang pelbagai iaitu:
- mengikut sunnah,
- menyalahi ahli kitab,
- menguatkan diri untuk melakukan ibadah,
- menambahkan tenaga dan semangat,
- menahan diri daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar,
- penyebab memberi sedekah kepada yang meminta atau berkesempatan untuk makan bersama-samanya,
- penyebab kepada zikir dan doa pada waktu mustajab untuk berdoa.
Selain itu, waktu sahur juga dapat mengingatkan niat puasa bagi sesiapa yang lalai daripadanya iaitu terlupa untuk niat sebelum tidur.
Baca juga: Cara Mandi WAJIB Yang Betul & Teliti, Lebih Yakin Bila Beribadat!
Jelaslah bahawa ‘keberkatan dalam sahur’ terbahagi kepada dua jenis keberkatan:
- Keberkatan ukhrawiyyah iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan antara waktu mustajab doa dan seumpamanya.
- Keberkatan duniawiyyah iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan bagi melaksanakan ibadah puasa, menambahkan semangat untuk berpuasa, mengurangkan rasa lapar, mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin terjadi kepada tubuh badan kerana berpuasa dan seumpamanya.
Selain itu, perbuatan meninggalkan sahur tanpa sebarang keuzuran seperti malas dan lain-lain, wajarlah dijauhi kerana perbuatan tersebut akan merugikan diri orang yang berpuasa itu sendiri.
Bahkan perkara tersebut menjadikan diri mereka lemah tubuh badan ketika berpuasa, hilang semangat, dan seumpamanya.
Oleh itu, bangunlah bersahur walaupun dengan sebiji tamar ataupun segelas air dan janganlah sesekali terlepas daripada mendapatkan keberkatan bersahur tersebut.
Baca juga: Di Majlis Keramaian, Islam Larang Duduk Semula Bila Selesai Makan & Ini Sebabnya!
Sumber: Maktabah al-Bakri
FT Image: KamranAydinov / Jcomp

