Setiap kali Syawal menghampiri, peti surat di kediaman Abdullah Mohd, 52, di Taman Mawar tidak pernah lengang daripada menerima kiriman kad ucapan Hari Raya Aidilfitri.
Kad-kad tersebut bukan sekadar datang daripada sahabat dan kenalan di serata negara, malah turut dikirim oleh pemimpin serta tokoh kenamaan, menjadikan amalan itu cukup istimewa dalam hidupnya.
MASIH SIMPAN KAD UCAPAN HARI RAYA BEKAS KEKASIH 31 TAHUN LALU

Menurut Abdullah, minat terhadap tradisi berkirim kad bermula sejak awal 1990-an ketika dia masih bersekolah. Namun kini, budaya itu semakin terpinggir apabila mesej digital mengambil alih peranan kad fizikal sehingga ia hampir dilupakan generasi baharu.
Katanya, semakin sukar untuk menemui kedai yang menjual kad raya, malah ada yang menganggap ia sudah tiada di pasaran. Sejak awal tahun 2000, kad ucapan semakin berkurangan dan suasana menjelang Aidilfitri tidak lagi semeriah dahulu.
“Dulu bila tiba musim raya, pejabat pos penuh dengan orang ramai yang beratur beli setem dan kirim kad. Sekarang suasana begitu hampir tidak kelihatan,” jelasnya.
Antara kiriman paling bermakna pernah diterima termasuk daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Sultan Johor, Tengku Mahkota Pahang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Sultan Brunei. Beliau juga pernah menerima kad daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tambahnya, minat itu kembali subur pada 2019 dan menjadi lebih aktif ketika negara berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua kad yang diterima disimpan rapi kerana mempunyai nilai sentimental yang sukar diganti.

Kredit: Harian Metro
Abdullah yang kini bergelar datuk kepada enam cucu berkata, menanti kehadiran posmen suatu ketika dahulu menjadi detik yang dinanti-nantikan setiap kali Ramadan berakhir.
“Ada masanya kad sampai selepas raya kerana terlalu banyak kiriman. Dari situ juga terjalin hubungan rapat dengan posmen, kenangan yang mungkin sukar dirasai hari ini,” ujarnya.
Lebih manis, kad ucapan daripada wanita yang kini isterinya, dikirim pada 1995 sebelum mereka berkahwin setahun kemudian, masih tersimpan kemas sebagai memori terindah.
Katanya, anak-anaknya juga gemar membaca kembali setiap bait ucapan yang ditulis tangan kerana ia lebih bermakna dan tahan lama berbanding mesej di WhatsApp atau MMS yang mudah dilupakan.
Semua kad tersebut disimpan dalam beg khas dan akan dikeluarkan setiap kali menjelang Aidilfitri untuk dibaca semula serta dikongsi dengan tetamu yang berkunjung.
“Tahun ini sahaja saya sudah menerima kira-kira 30 keping kad dengan pelbagai reka bentuk. Di Kuala Klawang masih ada kedai alat tulis yang menjual stok lama pada harga asal.
“Ada juga rakan-rakan yang kreatif menghasilkan kad sendiri sebelum mengirimkannya kepada kenalan, semata-mata mahu memastikan tradisi ini terus hidup,” katanya.
Baca juga: Asyik Menggaru Dekat 5 Bahagian Tubuh Ini Ingatkan Alergi Habuk, Rupanya Petanda Ada Kencing Manis!
Sumber: Harian Metro
