Seorang pesakit hospital seberat lebih 300 kilogram (kg) terpaksa dipindahkan menggunakan lori milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas tidak dapat dibawa menaiki ambulans biasa di Besut, Terengganu.
Dalam kejadian pagi Khamis, lelaki berusia 28 tahun itu dipindahkan dari Hospital Besut ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut selepas mengalami jangkitan serius.
Baca juga: [VIDEO] Tragis Awal Pagi! Seorang Kanak-Kanak 6 Tahun Maut, Rentung Dalam Rumah Teres
PESAKIT HOSPITAL BERAT 300KG DIPINDAHKAN GUNA LORI APM

Kokitangan Hospital Besut dan anggota Angkatan Pertohanan Awam Malaysia (APM) Besut berganding bahu memindahkan pesakit obesiti, Muhämmad Azrol Haffiz Juraimi, 28, dari Unit Kecemasan Hospital Besut ke dalam lori 5 tan. milik APM untuk dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Operasi khas oleh APM Besut
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut, Kapten (PA) Mohd Fazlien Jaafar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada hospital pada waktu pagi untuk membantu proses pemindahan khas tersebut.
“APM menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital pagi tadi (Khamis) meminta bantuan khidmat khas membawa pesakit yang terpaksa ditidurkan tersebut ke HSNZ,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut beliau, keadaan fizikal pesakit menyebabkan ambulans atau kenderaan biasa tidak sesuai digunakan.
“Semalam kami (APM) telah membawa pesakit yang sama dari rumahnya di Kampung Padang Luas ke Hospital Besut dengan lori sama, dan hari ini pesakit itu terpaksa dirujuk pula ke HSNZ” jelasnya lagi.
Operasi sekitar jam 12 tengah hari itu melibatkan lima anggota APM Besut bersama sebuah lori dan pesakit diiringi pegawai perubatan serta beberapa petugas hospital. Kenderaan tersebut selamat tiba di HSNZ kira-kira jam 2.30 petang.
Alami jangkitan kuman dalam darah
Sementara itu, abang pesakit, Muhamad Shafik Juraimi, 33, memaklumkan adiknya Muhammad Azrol Haffiz dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut kira-kira jam 8 malam selepas mengalami jangkitan pada kaki.
“Pada mulanya kami hubungi ambulans tetapi apabila ambulans sampai didapati adik saya yang ketika itu sedar dan boleh berjalan dengan bantuan tidak dapat masuk ke dalam kenderaan tersebut kerana keadaan fizikalnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Besut, semalam.
Menurutnya, berat badan adiknya meningkat secara mendadak sejak awal tahun lalu selepas kakinya membengkak. Difahamkan, lelaki yang bekerja di syarikat swasta itu terpaksa dirujuk ke HSNZ selepas berlaku jangkitan kuman dalam darah dan perlu ditidurkan bagi rawatan lanjut.

Warga maya beri pelbagai reaksi
Perkongsian mengenai operasi pemindahan itu turut mengundang perhatian warga maya di media sosial. Ramai yang memuji anggota APM sebagai “unsung heroes” kerana tampil membantu dalam situasi mencabar demi memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya.
Dalam masa sama, ada juga netizen yang melihat isu ini dari sudut kesihatan awam. Di mana, ada yang berkongsi pandangan bahawa individu yang berdepan masalah obesiti digalakkan mengambil langkah awal menjaga kesihatan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang dikongsikan keluarga, tidak dapat dipastikan bahawa kenaikan berat badan lelaki itu berpunca daripada obesiti semata-mata. Difahamkan berat badannya meningkat secara mendadak selepas mengalami bengkak pada kaki.
Dari sudut perubatan, bengkak kaki boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor termasuk:
- pengumpulan cecair dalam badan (edema)
- masalah buah pinggang
- gangguan jantung
- sistem limfa
- jangkitan serius
Kenaikan berat badan akibat penahanan cecair boleh berlaku dengan cepat dan bukan semestinya disebabkan pengambilan kalori berlebihan atau obesiti kronik.
Justeru, sebarang kesimpulan mengenai punca sebenar perubahan fizikal tersebut sewajarnya bergantung kepada penilaian dan diagnosis pakar perubatan.
Sumber: BERNAMA
FT Image: BERNAMA
