Ternyata di dalam bulan Ramadan ini, amalan membantu sesama insan bukan sekadar memberi wang ringgit. Kadang-kadang, sekotak makanan panas yang dihulurkan tepat pada masanya jauh lebih bermakna buat mereka yang memerlukan seperti apa yang dilakukan oleh pihak Masjid Seksyen 7, Shah Alam.
Di tengah-tengah kesibukan bandar, Masjid Seksyen 7 Shah Alam tampil dengan satu inisiatif luar biasa apabila menyediakan mesin layan diri (vending machine) makanan percuma khas untuk golongan asnaf dan pelajar!
Masjid Seksyen 7 Shah Alam Dipuji Beri Bantuan Lebih Tersusun, Jaga Maruah Penerima

Menerusi perkongsian akaun Threads @masjidseksyen7, pihak pengurusan memaklumkan bahawa mesin tersebut bukan sahaja menyediakan makanan secara percuma, malah turut dilengkapi dengan stesen pemanas (microwave).
Ini membolehkan penerima menikmati hidangan dalam keadaan panas dan segar, tanpa perlu beratur panjang atau berasa segan untuk meminta bantuan.
Menurut pihak masjid, usaha ini diwujudkan bagi memastikan agihan makanan dapat dilakukan secara lebih sistematik, cepat dan pada masa yang sama menjaga maruah penerima.
“Kami menyediakan vending machine makanan percuma pertama di Malaysia, khas untuk asnaf dan pelajar yang memerlukan.
Lebih istimewa, ia dilengkapi stesen pemanas supaya penerima dapat terus menikmati makanan yang panas dan segar. Usaha kami mungkin kecil, tetapi harapan untuk membantu amat besar,” tulis di laman Threads.
Pelbagai Menu Menarik Disediakan

Bukan sekadar makanan asas, malah pelbagai pilihan hidangan lengkap disediakan di dalam mesin tersebut. Antara menu yang boleh dipilih termasuk:
- Nasi Tumis Daging Hitam
- Nasi Bukhara Daging
- Spaghetti Bolognese
- Nasi Biryani Ayam
Untuk memastikan hanya golongan layak menerima manfaat, penerima perlu mendapatkan nombor pin daripada Ahli Jawatankuasa masjid sebelum membuat pilihan makanan di mesin berkenaan. Langkah ini bukan sahaja memastikan bantuan sampai kepada sasaran, malah menjadikan proses lebih tersusun dan telus.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dan memuji usaha pihak masjid yang dianggap kreatif serta berjiwa besar.
Ramai menyifatkan pendekatan ini sebagai contoh terbaik bagaimana institusi masjid boleh memainkan peranan aktif dalam kebajikan komuniti dengan cara yang lebih moden dan praktikal.
Kesimpulannya, inisiatif seperti ini membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar untuk kemudahan, malah boleh dimanfaatkan sebagai jambatan kebaikan dan menyantuni mereka yang memerlukan dengan penuh hikmah dan hormat. Terbaik!
Sumber: Threads @masjidseksyen7
