Malaysia sememangnya antara negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan mampu milik kepada rakyat, jika dibandingkan dengan banyak negara lain. Sistem kesihatan awam kita membolehkan rakyat menerima rawatan asas dengan caj hospital kerajaan serendah RM1, manakala temu janji dengan pakar pula hanya RM5!
Untuk kelahiran pula, kos bersalin secara pembedahan (C-sect) di hospital kerajaan sekitar RM300 hingga RM400, manakala bersalin normal sekitar RM100 hingga RM200 sebagai satu bentuk subsidi besar dari kerajaan.
Baca juga: Senarai Harga Pakej Bersalin C-Section Di 8 Buah Hospital Dalam Malaysia, Cecah Belasan Ribu!
CAJ HOSPITAL KERAJAAN MURAH SANGAT, “PATUTLAH GOLONGAN ASNAF BERANAK RAMAI”

Namun begitu, baru-baru ini timbul pandangan yang mencetuskan perdebatan hangat. Seorang individu yang mahu dikenali sebagai Aida, mencadangkan agar subsidi kelahiran dihadkan hanya untuk tiga orang anak sahaja. Lebih dari itu, ibu bapa perlu menanggung sendiri kos bersalin penuh, misalnya RM1,000 untuk setiap kelahiran seterusnya.
“Kalau bersalin tu hadkan percuma untuk tiga kelahiran je, lebih daripada tu bayar RM1,000. Barulah asnaf-asnaf ni takut nak beranak ramai. Harapkan bantuan je untuk hidup,” tulisnya dalam satu hantaran yang menjadi tular.
Menurut Aida, langkah itu bukan sekadar untuk menjimatkan kos kerajaan, malah mampu mendorong masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam soal perancangan keluarga.
Dia turut menegaskan bahawa ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan ini untuk melahirkan ramai anak, sedangkan mereka sendiri bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
Hantaran tersebut, seperti dijangka, menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Ada yang bersetuju atas dasar kawalan populasi dan penggunaan subsidi secara berhemah. Namun, tidak kurang juga yang mengecam kenyataan itu sebagai tidak berperikemanusiaan, terutama terhadap golongan kurang berkemampuan.

Foto: BERNAMA
*Perbincangan ini sekali lagi membuka ruang kepada persoalan yang lebih besar, sampai bila sistem kesihatan percuma boleh dikekalkan, dan bagaimana untuk memastikan ia dimanfaatkan dengan adil serta bertanggungjawab? Adakah kenyataan ini kedengaran logik?
Sumber: Mstar
