Melaka Tourism Passport kini menjadikan pengalaman melancong lebih menyeronokkan, dengan menawarkan penjimatan hebat sehingga RM268 bagi 63 produk pelancongan di negeri bersejarah ini.
Program ini diperkenalkan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0) dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TM2026). Di mana, pasport pelancongan ini boleh dimiliki hanya pada harga RM5, tetapi keuntungannya sangat besar.
INFO ‘MELAKA TOURISM PASSPORT’

Gambar: Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad menunjukkan ‘Melaka Tourism Passport’ yang diperkenalkan kerajaan negeri sempena TMM2.0 dan TM2026.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Nasrul Ahmad, pengunjung boleh menikmati diskaun sehingga 80 peratus, pelbagai pakej menarik, serta harga istimewa untuk tiket masuk ke destinasi pelancongan yang mengambil bahagian.
63 PRODUK PELANCONGAN MENARIK MENANTI
Melaka Tourism Passport merangkumi:
- 35 tempat tarikan pelancongan termasuk Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Bayou Lagoon Water Park, Magic Art 3D Museum, dan Cheng Ho Cultural Museum.
- 15 hotel, resort, chalet dan inap desa yang menawarkan harga istimewa.
- 4 restoran dan kafe untuk mencuba hidangan tempatan dan antarabangsa.
- 4 pusat beli-belah dengan promosi khas untuk pemegang pasport.
- 5 pakej pelancongan kesihatan bagi pengunjung yang ingin menikmati rawatan dan lawatan serentak.
Sebagai contoh, pengunjung boleh menikmati diskaun 10 peratus untuk menaiki Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari, manakala Bayou Lagoon Water Park, Magic Art 3D Museum dan Cheng Ho Cultural Museum menawarkan diskaun 20 peratus.
Selain penjimatan, pasport ini juga boleh dijadikan kenangan. Pelancong boleh mendapatkan cop bagi setiap lokasi yang dilawati, menjadikannya pengalaman pelancongan lebih interaktif dan menyeronokkan.
Sejak pelancarannya akhir tahun lepas, sebanyak 10,000 naskhah telah dicetak dan boleh didapati di kios Tourism Melaka di Banda Hilir, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Zoo Melaka, serta beberapa hotel terpilih. Malah, beberapa hotel dan agensi pelancongan turut menawarkan pasport ini secara percuma kepada pengunjung.

Gambar: Tourism Melaka
Galakkan pengunjung tinggal lebih lama
Inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan tempoh penginapan pelancong, terutamanya dari China, yang kebiasaannya hanya datang secara lawatan sehari atau menginap semalam sahaja. Dengan pasport pelancongan, pengunjung digalakkan untuk tinggal sekurang-kurangnya tiga hari dua malam, agar dapat merasai sendiri pelbagai destinasi menarik yang Melaka tawarkan.
Menurut Nasrul Ahmad,
“Sudah tentunya untuk pergi ke semua destinasi tersebut, sehari memang tidak mencukupi… sekurang-kurangnya tiga hari dua malam, barulah banyak tempat boleh dikunjungi,” katanya.
Melaka Tourism Passport bukan sahaja membantu pelancong menjimatkan kos, malah memperkaya pengalaman mereka dengan pelbagai aktiviti menarik dan lokasi ikonik negeri bersejarah ini.
Baca juga: Ramai Tak Sedar Taktik Kecurian Dalam Pesawat, Buat 4 Tips Mudah Ini Untuk Pastikan Barang Selamat!
Sumber: BERNAMA
FT Image: Zoo Melaka / freestockcenter
