Euforia Bola 2026
Didik

Buku Teks Sekolah Koyak Sebenarnya Boleh Tukar, Tapi Sikap Mak Ayah Suka Viralkan Dulu Buat Guru Penat!

buku teks sekolah

Setiap awal sesi persekolahan, ribuan guru sekolah rendah di seluruh negara memikul satu tanggungjawab besar yang jarang dipandang ringan iaitu menguruskan buku teks sekolah untuk anak-anak kita.

Buku-buku itu bukanlah buku baharu yang terus keluar dari kilang. Ia merupakan buku teks kitar semula di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), sistem yang telah berpuluh tahun membantu memastikan setiap murid, tanpa mengira latar belakang keluarga, tetap mempunyai akses kepada bahan pembelajaran.

Baca juga: Isu Gunting Tudung Pelajar: Guru Mohon Maaf, Dipindahkan Sekolah & Tudung Sudah Diganti Baharu

MAK AYAH SUKA VIRALKAN BUKU TEKS SEKOLAH KONONNYA ‘BURUK’, GURU BERI TEGURAN…

buku teks sekolah

Menurut perkongsian dari bekas guru Mohd Fadhli Othman, di sebalik satu set buku yang diterima murid, tersembunyi usaha guru yang tidak sedikit. Mereka menyusun, menyemak satu persatu, menampal helaian koyak, membersihkan buku yang lusuh, malah ada yang sanggup membawa pulang buku ke rumah demi memastikan ia masih boleh digunakan.

Tidak kurang juga yang terpaksa duduk hingga lewat petang di bilik SPBT semata-mata mahu memastikan semuanya terurus. Pada hari agihan, pesanan guru hampir sama di setiap sekolah:

“Balik rumah, semak buku. Kalau ada yang koyak atau rosak, bawa semula esok. Cikgu tukarkan…”

Arahan itu jelas, ringkas dan langsung tidak rumit. Sistem pertukaran memang disediakan. Namun, di sinilah masalah mula timbul.

Ada segelintir ibu bapa yang memilih jalan berbeza. Buku disemak pada malam pertama, jumpa helaian koyak sedikit. Bukan terus berhubung dengan guru atau bukan dibawa semula ke sekolah. Sebaliknya, telefon pintar diangkat, gambar dirakam, kapsyen emosi ditulis, lalu dimuat naik ke media sosial.

UTAMAKAN KONTEN DARI JAGA HATI GURU & SEKOLAH

buku teks sekolah

Isunya dipersembahkan seolah-olah satu kegagalan besar sistem pendidikan negara. Hakikatnya, guru sudah beri ruang untuk menukar, sekolah sudah sediakan prosedur, dan sistem SPBT memang berfungsi seperti sepatutnya. Tetapi semua itu tenggelam kerana satu perkara lebih diutamakan iaitu konten semata-mata.

Yang penting, dapat perhatian. Yang penting, nampak seperti pembela anak. Yang penting, sekolah dan guru kelihatan bersalah di mata umum.

Inilah cabaran sebenar dunia pendidikan hari ini. Bukan semata-mata kekangan sistem atau kekurangan peruntukan, tetapi krisis adab dan kematangan sebahagian orang dewasa.

Perlu difahami, buku SPBT adalah buku pinjaman, dibiayai menggunakan wang rakyat dan digunakan secara bergilir dari tahun ke tahun. Dalam sistem sebesar itu, mustahil setiap buku berada dalam keadaan sempurna. Sebab itulah wujud tempoh semakan dan pertukaran.

Namun, ada ibu bapa yang lebih rela memalukan sekolah di ruang maya berbanding menyelesaikan isu tersebut dalam masa lima minit di bilik guru.

Ironinya, golongan inilah selalunya paling lantang bersuara di media sosial, tetapi paling jarang kelihatan di sekolah. Mesyuarat PIBG tidak pernah hadir, program gotong-royong sepi, hari sukan anak pun tidak muncul. Apabila guru memerlukan kerjasama, terus menyepi. Tetapi bila buku koyak sedikit, dialah ‘pejuang’ paling hadapan di media sosial.

Perangai sebegini bukan tanda keprihatinan. Ia lebih mencerminkan sikap tidak matang, gemar membuka aib dan lebih suka mencari salah daripada mencari jalan penyelesaian.

Jika benar seorang ibu atau bapa yang bertanggungjawab, langkahnya mudah. Esok pagi, bawa buku ke sekolah, maklumkan kepada guru, minta pertukaran. Selesai.

Namun, ada yang memilih jalan paling bising, paling sensasi dan paling memalukan orang lain — bukan demi anak, tetapi demi kepuasan diri sendiri.

Perlu diingat, anak-anak belajar melalui teladan. Apabila ibu bapa menunjukkan sikap suka memviralkan, suka menyalahkan tanpa berbincang dan gemar membuka aib orang lain, itulah pelajaran sebenar yang mereka serap dalam kehidupan.

Buku koyak boleh ditampal.
Buku rosak boleh ditukar.
Buku lusuh boleh diganti.

Tetapi perangai suka menjaja kesalahan, mencari perhatian dan menjadi jaguh media sosial — itulah kerosakan yang jauh lebih sukar untuk diperbaiki. Kadang-kadang, yang perlu ditukar bukan buku. Tetapi sikap kita sendiri terutamanya mak ayah…

Baca juga: Tak Perlu Beratur Di Kantin, Murid SJKC ‘Order’ Makanan Guna Aplikasi, Terus Dihantar Ke Kelas!

Sumber: Mohd Fadhli Othman

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×