Euforia Bola 2026
Didik

“Ini Cara Saya Didik 16 Orang Anak” – Pernah Kena Rotan Tapi Tak Selalu, Didikan Tegas Jadi Kunci

cara didik anak

Cara didik anak yang dikongsikan oleh Dr. Nik Rahim Nik Wajis mencuri perhatian warganet apabila beliau mendedahkan prinsip tegas berteraskan agama dalam membesarkan 16 orang anak.

Beliau tidak pernah menganggap dirinya hebat dalam mendidik anak-anak. Sebaliknya, mengakui dirinya sangat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang menjadikan agama sebagai teras kehidupan.

Baca juga: Pantang Di Malaysia Dilabel Mengarut! Ada Ibu Lemah & Pucat Gara-Gara Semua Tak Dibenarkan Makan

BAPA KONGSI CARA DIDIK ANAK SERAMAI 16 ORANG

CARA DIDIK ANAK

“Bertuah bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana saya lahir dalam keluarga yang hidupnya beragama,” katanya.

Datuk beliau, Tokguru Nik Mat Alim, dikenali sebagai seorang tokoh agama yang sangat tegas dalam prinsip. Bagi Tokguru Nik Mat Alim, agama bukan sesuatu yang boleh dirunding atau dikompromi.

“Arwah ayah saya tidak ada ijazah, tiada pangkat, tetapi ketaatannya kepada Allah bagi saya jauh lebih mahal daripada sekeping sijil,” jelasnya.

Membesar dalam suasana disiplin yang ketat, rumah mereka bukan sekadar tempat tinggal, sebaliknya berfungsi sebagai madrasah hidup. Solat dijaga dengan teliti, aurat menjadi keutamaan dan pergaulan antara lelaki dan perempuan diawasi dengan ketat.

Kerja keras turut menjadi budaya sejak kecil. Menurut cerita arwah ayahnya, Tokguru Nik Mat Alim akan mengerah anak-anak ke sawah pada waktu malam ketika bulan cerah bagi membajak tanah. Tiada istilah manja berlebihan, sebaliknya hidup mesti berdisiplin dan berusaha.

Dr. Nik Rahim mengakui beliau bukanlah anak yang mudah dibentuk ketika kecil. Kenakalan sering mengundang rotan daripada arwah ayahnya. Namun, pengalaman itu kini disyukuri kerana didikan keras itulah yang membentuk dirinya hari ini.

“Didikan yang orang kata kasar itulah yang menjadikan saya manusia, walaupun tidak sempurna,” katanya.

Apabila dikurniakan anak-anak sendiri, beliau memilih untuk menerapkan pendekatan yang sama, dengan prinsip yang jelas dan tidak boleh dirunding.

Cara didikan jadi peranan penting

CARA DIDIK ANAK

Sekadar gambar hiasan

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara utama yang menjadi asas didikan anak-anaknya, termasuk solat, penjagaan aurat, ketaatan kepada ibu bapa serta disiplin diri. Perkara-perkara ini dianggap kesalahan besar jika dilanggar dan akan dikenakan tindakan tegas.

Dalam soal pergaulan, beliau turut mengakui bersikap keras, termasuk memberi amaran tegas sekiranya anak-anak terlibat dalam hubungan cinta tanpa pengetahuan keluarga.

Isu penggunaan rotan turut disentuh dalam perkongsiannya. Menurut beliau, rotan bukan bertujuan mendera, sebaliknya sebagai kesinambungan pendidikan untuk memberi kefahaman tentang akibat melanggar arahan.

Beliau menjelaskan rotan hanya digunakan kepada anak-anak yang sudah memahami kesalahan, sekitar usia tujuh hingga 12 tahun. Selepas itu, pendekatan lebih lembut digunakan, dengan teguran melalui kata-kata yang menyentuh jiwa.

“Dari sudut dunia, pencapaian anak-anak saya biasa sahaja. Yang sulung: UIAM (Undang-undang) Kedua: UKM (Syariah) Ketiga: Diploma KIPSAS Keempat: UIAM Kelima: Diploma KIPSAS Keenam: Al-Azhar Ketujuh: UIAM Kelapan: Universiti Yarmouk, Jordan Kesembilan: Tahfiz al-Qurann Kesepuluh: Baru tamat STAM 11 hingga 15: masih belajar Bongsu: 4 tahun, masih di rumah.

“Setakat ini tiada yang bergelar jutawan atau yang jadi Menteri atau berjawatan tinggi. Tapi Syukur mereka semua stabil dalam keluarga masing-masing,” luahnya.

Dalam mendidik anak, beliau menekankan kepentingan keseimbangan antara peranan ayah dan ibu. Ayah perlu tegas dan berprinsip, manakala ibu berperanan sebagai pendamping yang lembut dan memujuk.

Menurutnya, jika kedua-duanya terlalu keras, anak akan menjauh, manakala jika terlalu lembut, anak pula tidak menghormati batasan.

Perkongsian ini menerima pelbagai reaksi daripada warganet, dengan ada yang bersetuju dan ada juga yang berbeza pandangan, namun ramai mengakui ia membuka ruang perbincangan tentang kaedah mendidik anak dalam dunia moden hari ini.

Baca juga: Harga Terkini Kos Bersalin Di Hospital Kerajaan Dari Kelas 1 Hingga Kelas 3, ‘Save’ Untuk Rujukan!

Sumber: Facebook Dr Nik Rahim & Associates

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×