Putera Diraja Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Abdul Mateen atau Putera Mateen memaklumkan bahawa baginda bersama isteri, Yang Amat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, kini bergelar ibu dan bapa selepas kelahiran cahaya mata sulung mereka.
PUTERA MATEEN SAMBUT KELAHIRAN PUTERI SULUNG DENGAN 17 DAS TEMBAKAN

Menurut laporan media, Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam selamat melahirkan seorang puteri pada Ahad, 8 Februari, jam 8.50 pagi.
Kehadiran cucunda kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah, diraikan dengan penuh adat istiadat apabila 17 das tembakan meriam dilepaskan sebagai simbol kesyukuran dan meraikan peristiwa bersejarah tersebut.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan memaklumkan bahawa kelahiran itu berlaku pada 20 Syaaban 1447 Hijrah, bersamaan 8 Februari 2026, dengan izin Allah SWT.
Kenyataan sama turut menyebut bahawa tembakan meriam berkenaan dilepaskan di perkarangan Istana Nurul Iman sejurus selepas kelahiran puteri tersebut.
Sebelum ini, Pengiran Muda Abdul Mateen pernah berkongsi khabar gembira mengenai kehamilan anakanda sulung baginda pada Oktober tahun lalu.

Pengumuman tersebut menerima reaksi positif daripada orang ramai apabila ruangan komen di media sosial dipenuhi ucapan tahniah serta doa kesejahteraan buat pasangan diraja berkenaan.
Baginda dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, yang telah saling mengenali sejak kecil, disatukan sebagai suami isteri pada 11 Januari 2024.
Baca juga: Senarai Doa Di Bulan Ramadan Untuk Lembutkan Hati Anak, Ikhtiar ‘Mujarab’ Buat Ibu Ayah Luar Sana
Sumber: Instagram Anishaik.tmski
