Euforia Bola 2026
Asuh

Budak 2 Tahun Buka Pintu Kereta Secara Tiba-Tiba, Punca Kemalangan Enam Kenderaan..Child Lock Tak Diaktifkan!

pintu kereta

Satu kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak yang membuka pintu kereta secara mengejut ketika kenderaan sedang bergerak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 malam.

Baca juga: Jenis Car Seat Untuk Bayi, Ini 4 Garis Panduan Pilih Ikut Umur, Berat & Ketinggian

BUDAK BUKA PINTU KERETA TIBA-TIBA, TIADA CHILD LOCK JADI PUNCA 6 KENDERAAN KEMALANGAN!

pintu kereta

Rakaman yang tular memaparkan insiden pintu kereta dibuka.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 6.15 petang di Jalan Tun Razak dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC.

“Lokasi kejadian merupakan jalan bandaran tiga lorong sehala dengan keadaan permukaan jalan yang rata dan kering,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kemalangan itu melibatkan empat buah kereta iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo dan Perodua Bezza, selain dua buah motosikal jenis Suzuki V-Strom SX serta CFMOTO 675 NK.

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang berada di tempat duduk belakang dan dipangku saudaranya telah membuka pintu belakang kiri kenderaan secara tidak sengaja.

Ketika itu, sebuah motosikal Suzuki V-Strom SX yang ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun sedang bergerak di antara lorong sebelum terlanggar pintu kenderaan berkenaan.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal itu hilang kawalan dan melanggar beberapa kenderaan lain di hadapannya,” jelas Mohd Zamzuri.

Tambah beliau, sebuah lagi motosikal jenis CFMOTO 675 NK yang ditunggang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berada di belakang turut gagal mengelak dan terlibat dalam kemalangan sama.

ADA YANG PATAH TANGAN…

Akibat insiden tersebut, penunggang Suzuki V-Strom SX mengalami patah tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala penunggang CFMOTO 675 NK dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan lain yang terlibat — termasuk lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun (Toyota Corolla Cross), wanita tempatan berusia 50 tahun (Honda City), lelaki tempatan berusia 32 tahun (Volkswagen Polo) serta lelaki tempatan berusia 28 tahun (Perodua Bezza) — tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Mohd Zamzuri, siasatan awal mendapati punca utama kemalangan adalah tindakan kanak-kanak tersebut membuka pintu kenderaan secara tiba-tiba sehingga menghalang laluan penunggang motosikal.

“Dipercayai ciri kunci keselamatan kanak-kanak atau child lock tidak diaktifkan, menyebabkan pintu boleh dibuka dari bahagian dalam,” katanya.

Pihak polis kini sedang meneliti rakaman video kejadian yang tular di media sosial bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah jalan utama di ibu kota. Rakaman itu turut menunjukkan penunggang yang merakam kejadian terbabas sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

Insiden ini menjadi peringatan penting bahawa kelalaian kecil, termasuk kegagalan mengaktifkan ciri keselamatan kanak-kanak, boleh membawa kepada kemalangan besar dan membahayakan pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Jangan lupa ‘child lock’ ya!

Baca juga: “Pandainya Cakap Arab”- Akhirnya Tanpa Sticker, Neelofa Dedah Wajah Muhammad Bilal Undang Perhatian Ramai

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×