Euforia Bola 2026
Famili

“Selfie Terakhir Dengan Alin”- Luahan Bapa Buat Ramai Menangis, Anak Meninggal 9 Hari Sebelum Konvo

solat jenazah

“Tak pernah aku sangka jadi imam solat jenazah anak aku” – Wan Nasrul (bapa).

Mengalir air mata apabila membaca luahan hati seorang bapa dari Mentakab yang berkongsi detik paling gelap dalam hidupnya apabila anak perempuan tercinta, Wan Adlin Nadhilah, atau mesra dipanggil Alin, pergi menghadap Ilahi selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 15 November 2025, hanya beberapa hari sebelum majlis konvokesyennya di UKM.

Baca juga: Air Mata Seorang Ibu: Dua Anak Pergi Selamanya, Dari Tangisan UPSR & Masuk UM…Kini Tinggal Doa

“Alin..Abah Rindu..”, Bapa Sebak Cerita Semula Kehilangan & Jadi Imam Solat Jenazah Anak Perempuan

solat jenazah

Foto: Selfie terakhir bersama arwah Alin.

Kisahnya menyentuh hati ramai kerana ia bukan sekadar kehilangan, tetapi juga memori-memori kecil seorang bapa yang kini menjadi kenangan terakhir. Pada Khamis, 13 November 2025, bapa ini sempat merakam sebuah selfie bersama Alin ketika dalam perjalanan pulang dari UKM selepas mengambil jubah konvokesyen.

Alin yang sejak kecil gemar memandu, meminta untuk memegang stereng bagi perjalanan dari Tol Karak ke Mentakab. Ketika itu, si bapa berasa bahagia melihat anaknya memandu dengan penuh semangat tanpa mengetahui itu adalah kali terakhir.

Keesokan harinya, keluarga ini pulang ke rumah mereka di Balok, Kuantan. Alin tidak ikut kerana dia mempunyai sesi bergambar pra-konvokesyen bersama adik-beradik, sepupu dan rakan-rakan pada Sabtu, 15 November 2025. Segala perancangan kelihatan ceria, namun takdir berkata sebaliknya.

Panggilan Telefon Yang Meruntuhkan Hati, Jenazah Seolah Tidur…

solat jenazah

Sekitar 5:54 petang, si bapa menerima panggilan daripada adiknya yang mengatakan bahawa Volkswagen Polo yang dinaiki oleh Alin telah terlibat dalam kemalangan. Tidak lama selepas itu, pukul 6:12 petang, panggilan kedua datang dan kali ini membawa berita yang merobek hati seorang ayah.

“Alin dah pergi,” kata adik lelakinya.

Beliau rebah…isterinya menangis berguling di lantai, menumbuk dada suami dalam keadaan hiba, sementara Yusuf, anak bongsu yang masih kecil meraung ketakutan. Dalam dua jam pertama, mereka hanya mampu menangis dan duduk termenung, tidak tahu apa langkah seterusnya.

Selepas Isyak, barulah keluarga ini mengumpul kekuatan untuk bertolak dari Balok ke Hospital Temerloh. Sepanjang perjalanan, tangisan menjadi teman. Di Jabatan Kecemasan, mereka melihat keadaan Baby (anak ketiga), yang cedera di kepala dan tulang rusuk patah. Walaupun masih trauma, Baby terselamat.

Pada jam 12 tengah malam, jenazah Alin dibawa ke rumah datuk dan neneknya di Mentakab. Pukul 4 pagi, si bapa membuka kain penutup wajah anaknya dan wajah itu masih sempurna seolah-olah sedang tidur. Doktor memaklumkan bahawa tiada kecederaan luaran, namun hentakan kuat di kepala meragut nyawanya serta-merta. Bapa tidur di sisi jenazah Alin sehingga Subuh.

Pada Ahad, 16 November 2025, selepas dimandikan dan dikafankan, solat jenazah didirikan.

“Tidak pernah aku sangka, aku akan jadi imam solat jenazah anak aku sendiri,” luahnya.

Pengebumian selesai sebelum Zohor, diiringi doa dan linangan air mata keluarga serta para sahabat. Dalam hiba, bapa memohon:

  • Jika ada kata-kata atau perbuatan Alin yang pernah menyinggung hati sesiapa, agar dihalalkan
  • Jika ada hutang, agar dimaklumkan kepada beliau untuk diselesaikan

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyelamat, para doktor, jururawat, jiran, saudara-mara dan rakan-rakan Alin yang hadir memberikan sokongan sepanjang detik sukar itu. Kisah ini ditutup dengan kata-kata yang menyentuh jiwa:

“Alin… Abah rindu Alin..”

Sebuah luahan yang merangkum seluruh rasa kehilangan seorang ayah, rindu yang akan kekal selamanya.

Baca juga: Hukum Kubur Digali Semula Untuk Bedah Siasat: Perlukah Ulang Mandi, Kafan & Solat Jenazah?

Sumber: Tekan Minyak

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×