Mulai tahun ini, ibu bapa di Malaysia perlu memberi perhatian lebih serius terhadap pendidikan awal anak-anak, khususnya mereka yang berusia lima tahun. Ini susulan keputusan terbaharu Jemaah Menteri yang menetapkan kemasukan ke prasekolah KPM sebagai satu kewajipan bagi kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut.
WAJIB MASUK PRASEKOLAH KPM USIA LIMA TAHUN- ZAHID HAMIDI

Foto: Berita Harian
Perkara ini diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga memegang jawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dalam satu sidang media baru-baru ini.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan menetapkan bahawa semua kanak-kanak berumur lima tahun akan mengikuti prasekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau menjelaskan bahawa penyeragaman ini bertujuan memastikan sistem pendidikan awal kanak-kanak lebih tersusun dan mempunyai kesinambungan yang jelas sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa prasekolah diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan, di mana anak-anak berumur lima tahun akan diwajibkan untuk menduduki kelas prasekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah di bawah KPM,” katanya.
Tabika & Tadika Kemas Kekal Untuk Usia Lebih Muda, Silibus Diseragam

Foto: Prasekolah Cempaka
Dalam pada itu, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk kanak-kanak yang berusia tiga hingga empat tahun, kerana Tabika dan Tadika Kemas, termasuk prasekolah di bawah Perpaduan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), akan terus beroperasi seperti biasa.
Program sedia ada ini masih berperanan menyantuni kanak-kanak kecil dengan pendekatan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan mereka.
Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan penyelarasan silibus prasekolah bagi kanak-kanak lima tahun supaya pembelajaran mereka lebih lancar dan tidak terputus apabila memasuki Tahun Satu.
Kelas prasekolah di bawah Kemas juga akan diteruskan mengikut kurikulum sedia ada, manakala Pelan Pendidikan Malaysia kini sedang disemak semula agar lebih relevan dengan keperluan semasa.
Langkah ini diambil bagi memastikan kanak-kanak berusia enam tahun benar-benar bersedia dari segi akademik, emosi dan sosial sebelum memulakan persekolahan rendah.
Baca juga: Putera Cilik Kelantan Kacukan Sweden Jadi Perhatian, Kecomelan Tengku Muhammad Johan Petra Dipuji!
Sumber: Malaysian Gazette
