Euforia Bola 2026
Inspirasi

Pemuda Derma 7 Organ Selepas Kemalangan, Detik Hospital Beri Penghormatan Terakhir Undang Sayu

derma organ

Pemergian Allahyarham Amirrul Mukminin Mohd Zain, 27, mengundang rasa pilu ramai apabila amanat terakhirnya iaitu derma organ yang diikrarkannya semasa hayat diraikan dengan penghormatan penuh sayu oleh warga Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Allahyarham terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur berhampiran Plaza Tol Kijal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya pada Jumaat lalu. Pemuda yang bekerja sebagai penyelia pembinaan itu kemudiannya disahkan mengalami kematian otak.

Baca juga: Detik Cemas Jantung Terhenti Sebelum Prosedur, Bayi 4 Bulan Selamat Jalani Pemindahan Hati Di PPUM!

IKRAR AMIRRUL DERMA ORGAN SEMASA HAYAT DITUNAIKAN KELUARGA

derma organ

Menurut perkongsian keluarga kepada Sinar Plus, dalam detik penuh ujian tersebut, amanat derma organ yang telah diikrarkan Allahyarham semasa hayatnya tetap ditunaikan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

Antara organ dan tisu yang didermakan termasuk mata, ginjal, jantung, tisu kulit, buah pinggang, tulang paha serta tulang betis. Keputusan itu membuka peluang kehidupan baharu kepada beberapa individu lain yang memerlukan.

Momen terakhir ibu bapa Allahyarham mengiringi jasad anak mereka sebelum pembedahan derma organ dijalankan menjadi tular di media sosial. Rakaman suasana hiba di Unit Rawatan Rapi memperlihatkan barisan petugas kesihatan berdiri memberi penghormatan terakhir, sekali gus mengundang sebak dan titipan doa warga maya.

“Satu penghormatan daripada kami warga HSNZ buat Allahyarham. Perginya masih muda dan asbab kemalangan. Namun, Allahyarham seorang pengikrar semasa hayatnya dan keluarga telah menunaikan amanat tersebut,” kongsi seorang petugas hospital.

Tambahnya lagi, walaupun reda bukan sesuatu yang mudah, kekuatan seorang ayah yang mampu mengiringi sekujur tubuh anaknya buat kali terakhir sebelum proses derma organ dijalankan menjadi teladan tentang jiwa besar dan keikhlasan luar biasa.

Baca juga: Isi Masa Sementara Tunggu Keputusan SPM, Remaja Ini Jadi Imam…Pilihan Lain Dari Yang Lain!

PERGINYA ARWAH BERI PELUANG HIDUP KEPADA PENERIMA ORGANNYA

derma organ

Dalam kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berjiwa besar. Amanat derma organ yang ditunaikan dianggap sebagai penghormatan terakhir dan bukti keberanian arwah dalam memberi harapan kepada orang lain.

“Perginya arwah memberi peluang kepada mereka yang masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan melalui pendermaan organ. Kami bangga dengan keberanian dan keikhlasan arwah,” titip abang ipar Allahyarham, NaZz KRw.

Sebagai makluman, derma organ boleh dilakukan dengan mendaftar sebagai pengikrar. Namun, bagi individu yang berusia bawah 18 tahun, keizinan ibu bapa atau penjaga diperlukan.

Antara organ dan tisu yang boleh didermakan termasuk:

  • jantung
  • paru-paru
  • hati
  • buah pinggang
  • injap jantung
  • kornea mata
  • kulit
  • tulang

Kisah Allahyarham Amirrul Mukminin Mohd Zain menjadi peringatan bahawa satu amanat yang ditunaikan dengan ikhlas mampu memberi sinar dan harapan kepada mereka yang masih berjuang untuk hidup.

Perginya membawa makna, meninggalkan legasi kemanusiaan yang tidak ternilai. Al-Fatihah.

@nazz_trw perghormatan terakhir dari staff Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) ketas arwah , we are proad of you ya Amirrul Mukminin Bin Mohd Zain your donation for someone who still can be saved for a life .. semoga tenang disana di alam sana wahai adik ipar bersama bonda dan seluruh umat islam .. amiin amiin amiin abe bangga dengan amir allahu AL FATIHAH (DIBACA) #orangbaikramaisayang #Alfatihah #fypchallenge #foryoupage #foryou ♬ bunyi asal – meknaa_lyrics

Baca juga: 11 Tahun Menanti Zuriat, Pemandiri Kanser Payudara ‘Rare’ Ini Akhirnya Bergelar Ibu!

Sumber: Sinar Plus / TikTok @nazz_trw

FT Image: TikTok @nazz_trw

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×