Ramai ibu bapa mengimpikan anak pandai sejak kecil, namun tidak semua menyedari bahawa asas kecerdasan anak sebenarnya mula terbentuk seawal tiga tahun pertama kehidupan.
Menurut perkongsian Dr Qarafi Tee di laman TikToknya, tempoh inilah yang paling penting untuk merangsang perkembangan otak anak melalui pengalaman harian, komunikasi dan persekitaran emosi yang sihat, sebelum perkembangan tersebut mula menjadi lebih perlahan.
Baca juga: Jangan Cepat Melenting Bila Anak Nakal, Ustaz Saran Sebaiknya Ibu Ayah Buat Solat Taubat…
CARA BESARKAN ANAK PANDAI SEBELUM USIA 3 TAHUN

Freepik
“Pada usia tiga tahun pertama, otak anak berkembang dengan sangat laju. Selepas itu, perkembangan otak akan mula menjadi lebih perlahan,” jelasnya.
Justeru, dia mengingatkan ibu bapa agar tidak mensia-siakan fasa ini kerana kerugian yang berlaku bukan kecil, malah boleh memberi kesan jangka panjang kepada potensi anak.
Dia menjelaskan bahawa kecerdasan anak tidak dibina melalui gajet atau pembelajaran formal yang terlalu awal, sebaliknya melalui pengalaman dunia sebenar.
Anak kecil perlu dibawa keluar untuk melihat alam sekeliling, merasai persekitaran dan menggunakan semua deria mereka. Melihat pokok, langit, kenderaan, menyentuh pasir, daun dan batu serta mendengar bunyi di sekeliling adalah rangsangan semula jadi yang sangat penting untuk perkembangan otak.
Dunia sebenar menyediakan rangsangan yang jauh lebih bermakna berbanding skrin, kerana setiap pengalaman itu membantu membina sambungan neuron dalam otak anak.
Selain itu, dia turut menekankan kepentingan komunikasi antara ibu bapa dan anak sejak usia sangat awal. Walaupun anak belum mampu bercakap atau memberi respon yang jelas, ibu bapa digalakkan untuk terus bercakap, menerangkan apa yang sedang dilakukan dan berinteraksi secara konsisten.

TikTok Pro Cham HQ
“Anak belajar bahasa daripada suara mak ayah. Walaupun dia belum pandai jawab, otaknya sedang menyimpan dan memproses. Suara ibu bapa, intonasi dan perkataan yang diulang setiap hari menjadi asas kepada keupayaan anak untuk memahami dan bertutur kelak,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, aspek emosi juga tidak boleh diabaikan. Dr Qarafi mengingatkan bahawa anak di bawah usia tiga tahun sangat sensitif terhadap persekitaran emosi. Suasana rumah yang sering dipenuhi jeritan, marah dan ugutan boleh menjejaskan perkembangan otak anak kerana mereka berada dalam keadaan takut, bukan bersedia untuk belajar.
Keadaan ini bukan sahaja membuatkan anak mudah tantrum, malah menyukarkan mereka untuk fokus dan menyerap pembelajaran dengan baik. Menurutnya, anak yang bijak biasanya membesar dalam rumah yang tenang, bukan rumah yang penuh tekanan emosi.
Sebagai kesimpulan, Dr Qarafi menegaskan bahawa anak kecil tidak memerlukan gajet untuk menjadi bijak. Apa yang mereka perlukan hanyalah dunia sebenar, komunikasi yang konsisten dan persekitaran emosi yang selamat.
Baca juga: Tabiat Minum Susu Botol Sampai Tertidur Jadi Punca, Anak Kena Buang Semua Gigi Kerana Karies
Sumber: TikTok Pro Cham HQ
