Euforia Bola 2026
Inspirasi

Jadi Menteri Belia & Sukan Termuda, Bergelar Ayah Pada Usia 29 Tahun – Ini Latar Belakang Dr Mohammed Taufiq Johari

mohammed taufiq johari

Siapa sangka, pada usia baru 29 tahun, nama Dr. Mohammed Taufiq Johari kini terpahat dalam sejarah negara apabila diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu pada 16 Disember 2025.

Pelantikan ini bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah menjadikan beliau antara menteri paling muda dalam sejarah Kabinet Kerajaan Madani.

Baca juga: Baru Usia 8 Tahun, Anak Dr. Sheikh Muszaphar Dah ‘Obses’ Algebra…Siap Menang Pertandingan Dunia!

JADI MENTERI TERMUDA DI USIA 29 TAHUN, SIAPAKAH GERANGAN DR MOHAMMED TAUFIQ JOHARI?

mohammed taufiq johari

Sudah semestinya ucapan tahniah membanjiri media sosial sehingga ke hari ini, mencerminkan keterujaan rakyat terhadap kemunculan wajah muda yang diberikan amanah besar untuk memimpin belia dan sukan negara. Namun, siapakah sebenarnya Dr Mohammed Taufiq Johari? Mari kita kenali figura muda ini dengan lebih dekat.

Dr Mohammed Taufiq Johari kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani sejak November 2022. Dilahirkan pada 6 Mac 1996 di Kuala Lumpur, beliau merupakan anak keenam daripada lapan beradik.

Beliau juga bukan asing dalam dunia politik kerana bapanya, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani selama hampir 14 tahun (2008–2022) dan kini memegang jawatan penting sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Latar belakang keluarga ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada Dr Mohammed Taufiq tentang dunia kepimpinan, tanggungjawab awam dan khidmat kepada masyarakat.

Seorang Doktor Perubatan & Baru Bergelar Ayah

mohammed taufiq johari

Di sebalik wajah muda dan mempunyai gaya kepimpinan ‘fresh’, Dr Mohammed Taufiq sebenarnya seorang doktor perubatan bertauliah. Beliau memiliki Ijazah Doktor Perubatan (MD) dari Universiti Islam Bandung, Indonesia.

Sepanjang pengajiannya, beliau turut menjalani latihan perubatan di beberapa hospital di Indonesia sebelum membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam arena politik.

Mempunyai gabungan latar belakang profesional sebagai doktor dan pengalaman sebagai wakil rakyat menjadikan beliau antara figura muda yang dilihat matang dalam membuat keputusan.

Mungkin ada juga yang tertanya-tanya adakah menteri muda kita ini sudah berkahwin atau belum? Ya, di sebalik jadual padat dan tanggungjawab besar sebagai menteri, Dr Mohammed Taufiq Johari sudah berkahwin dan kini bergelar seorang ayah di mana pada 12 Disember lalu, beliau berkongsi khabar gembira di laman media sosial mengenai kelahiran cahaya mata sulungnya, Mohammed Sulaiman.

“12.12.25, pada hari Jumaat yang penuh barakah. Alhamdulillah hero sulung kami, Mohammed Sulaiman, selamat dilahirkan.
Terima kasih kepada isteri atas segala sakit, sabar dan pengorbanan yang tak terbalas. Semoga cahaya mata ini membesar sebagai anak yang soleh, baik budi dan membahagiakan semua..” tulisnya.

Perkongsian ringkas tetapi penuh makna ini menampilkan sisi peribadi seorang pemimpin muda yang bukan sahaja berwibawa, malah rendah hati dan penyayang sebagai ketua keluarga.

Pelantikan Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan juga dilihat sebagai simbol kepercayaan terhadap kepimpinan generasi muda. Usia yang muda, latar belakang profesional, pengalaman politik serta legasi keluarga menjadikan beliau figura yang unik dalam landskap politik negara.

Rata-rata rakyat menzahirkan harapan agar beliau mampu membawa nafas baharu dalam pembangunan belia dan sukan, seiring aspirasi anak muda Malaysia hari ini. Tahniah!

Baca juga: PMX Anwar Ibrahim Kini Tersenarai Dalam Top 10 Tokoh Islam Paling Berpengaruh Di Dunia, Hebat!

Sumber: Harian Metro, Na’im Brundage

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×