Aktiviti simulasi perkahwinan yang dianjurkan selepas Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat, Johor mencuri perhatian ramai, apabila video aktiviti tersebut tular di media sosial dan meraih pelbagai reaksi positif daripada masyarakat.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok rasmi SMK Dato Bentara Luar, simulasi itu dilaksanakan sebagai aktiviti pasca UASA bagi menghidupkan suasana tradisi dan budaya Melayu, selain memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai adat serta proses sesebuah majlis perkahwinan.
Baca juga: Buang Bayi Bongkar Perbuatan Sumbang Mahram Di Besut, Adik Lelaki 14 Tahun Dipercayai OKU Lembam!
SIMULASI PERKAHWINAN DI SEKOLAH DITERIMA BAIK MASYARAKAT!

Menurut pihak sekolah, simulasi berkenaan mengetengahkan tema perkahwinan adat Melayu, merangkumi persiapan sebelum majlis, ketibaan rombongan pengantin lelaki, sesi akad nikah secara simbolik, upacara merenjis air mawar dan tepung tawar, serta acara bersanding.
Menariknya, dua pasangan pengantin dalam simulasi tersebut dilakonkan oleh pelajar sekolah itu sendiri, manakala murid dan guru lain turut terlibat secara langsung dalam menguruskan persiapan majlis termasuk memasak hidangan untuk tetamu, sekali gus memberi pengalaman praktikal kepada semua yang terlibat.
Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa simulasi itu telah dirujuk kepada individu bertauliah dan disahkan tidak sah dari sudut hukum syarak kerana tidak menggunakan wali sebenar serta nama sebenar pelajar, sekali gus menepis sebarang salah faham berkaitan isu hukum.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya memuji pendekatan kreatif pihak sekolah dalam mendidik pelajar melalui aktiviti luar bilik darjah yang bersifat praktikal dan kontekstual.
Ramai berpendapat program seumpama itu secara tidak langsung menggabungkan pelbagai elemen pembelajaran seperti Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik, terutamanya dalam memahami adat, komunikasi, serta pengurusan kos dan perbelanjaan majlis.
Selain pujian, ada juga pengguna yang mencadangkan agar simulasi seumpama itu diperluaskan kepada topik lain seperti proses pilihan raya atau aktiviti kemasyarakatan, bagi melatih pelajar berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan yakin dan memahami sistem sosial negara.
“Cikgu lepas ini boleh buat simulasi proses pilihan raya pula dari bubar calon, penamaan calon, kenalkan parti dan manifesto sampai kira undi. Boleh latih pelajar beri syarahan spontan untuk siapa yang jadi YB. Macam modul dalam PLKN,” komen Pit.
Untuk info, aktiviti pasca UASA merujuk kepada program yang dianjurkan selepas tamat peperiksaan akhir sesi akademik. Ia bertujuan mengisi masa murid dengan aktiviti menyeronokkan, mengurangkan tekanan peperiksaan dan membangunkan kemahiran insaniah, kokurikulum serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
@smkdbl Meriah sungguh aktiviti pasca UASA kali ini! Tema Perkahwinan Adat Melayu benar-benar menghidupkan suasana tradisi. Terima kasih kepada semua guru dan pelajar yang menjayakan program ini dengan penuh dedikasi. #pascauasa #perkahwinan #simulasi #adatmelayu #sdbl ♬ original sound – SMK DATO BENTARA LUAR
Penulis telah meminta keizinan untuk menerbitkan kandungan perkongsian ini semula daripada pihak sekolah. Semoga memberi manfaat kepada semua.
Sumber: TikTok @smkdbl / Kosmo!
FT Image: TikTok @smkdbl
