Hantaran pernikahan Erra Fazira baru-baru ini yang menampilkan bunga emas bukan sahaja mencuri perhatian ramai kerana keunikan dan nilai estetiknya, malah turut membuka perbincangan tentang zakat emas dan nilai sebenar emas sebagai harta.
Di sebalik keindahan dan simbol kemewahan tersebut, ramai mula tertanya-tanya: adakah emas yang diterima sebagai hantaran atau simpanan ini tertakluk kepada zakat? Persoalan inilah yang sering mengelirukan, terutama apabila melibatkan emas yang disimpan berbanding emas yang dipakai.
Baca juga: Berjaya ‘Tawan’ Hati Primadona Negara Erra Fazira, Ini Serba Sedikit Trivia Tentang Ezwan Zain
Hantaran Bunga Emas Buat Orang Tertanya Bila Zakat Emas Ini Jadi Wajib?

Foto: Hantaran bunga emas (BERNAMA)
Jadi, sebelum emas terus disimpan atau dipakai tanpa sebarang kiraan, ini penjelasan ringkas dan mudah difahami tentang bila zakat emas sebenarnya menjadi wajib.
1. Emas Disimpan: Gold bar, dinar, MIGA, GAP, KABGold dan seumpamanya
Emas jenis ini dianggap sebagai harta pelaburan, bukan untuk kegunaan harian. Zakat wajib dikenakan apabila:
- Jumlah emas mencapai 85 gram (nisab)
- Cukup tempoh simpanan (haul)
Formula kiraan zakat emas:
Berat emas × Harga emas semasa × 2.5% (Harga emas tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh Pusat Zakat negeri masing-masing)
Contoh kiraan: Jika anda memiliki 90 gram emas : 90g × RM239.54 × 2.5% = RM538.96
2. Emas Dipakai: Rantai, gelang, cincin dan perhiasan diri
Berbeza dengan emas simpanan, emas yang dipakai dikira sebagai keperluan, sebab itu kadar nisabnya lebih tinggi. Zakat hanya wajib apabila:
- Jumlah emas dipakai mencecah 800 gram
Formula kiraan masih sama: Berat emas × Harga emas semasa × 2.5%
Contoh kiraan: Jika anda memiliki 900 gram emas perhiasan: 900g × RM239.54 × 2.5% = RM5,389.65
Kenapa Nisab Emas Berbeza?

Foto: freepik
- Emas disimpan: Dianggap harta simpanan dan pelaburan.
- Emas dipakai: Dianggap keperluan peribadi.
Sebab itulah syarat zakatnya tidak sama. Jadi, jika anda memiliki emas dalam jumlah yang banyak, pastikan semak kadar zakat mengikut negeri masing-masing kerana harga emas boleh berbeza.
Ingat, zakat bukan mengurangkan harta, sebaliknya:
- Membersihkan rezeki
- Menambah keberkatan
- Membantu golongan memerlukan
- Menariknya, zakat yang dibayar juga layak mendapat rebat cukai
Semoga perkongsian ini membantu anda lebih jelas dan yakin dalam menunaikan zakat emas. Mana tahu, lebih ramai bakal pengantin nak beri hantaran nikah bunga emas ala-ala Erra Fazira? Menarik!
Baca juga: Ramai Tak Tahu…Ini 5 Design Emas Popular Tapi Sebenarnya ‘Perangkap’, Tak Berbaloi Beli!
Sumber: Ieza Yusof, Zakat2U
