Hantaran terbaru dari pelakon Adam Corrie di Facebook semalam telah menarik perhatian ramai apabila beliau diajukan soalan berkenaan mengapa seorang anak Muslim tidak menyertai ritual keagamaan ibu mereka.
Persoalan tersebut timbul rentetan kepada perkongsian beliau sebelum ini, tentang pengalaman peribadinya ketika menghadiri pengebumian ibunya yang berlainan agama. Mari ikuti penjelasan Adam berkenaan perkara tersebut.
Baca juga: Jiran ‘Report’ Terganggu Bau Masakan, Pihak Berkuasa Melaka Datang Ketuk Pintu Rumah Buat Siasatan!
ADAM CORRIE DISOAL TAK IKUT RITUAL PENGEBUMIAN IBUNYA

Gambar Adam Corrie bersama ahli keluarganya.
Ada yang bertanya, kenapa seorang anak Muslim tidak menyertai ritual pengebumian ibunya yang berlainan agama.
Menjadi mualaf bukan bermaksud memutuskan kasih dengan keluarga. Islam hanya menjaga ibadah, bukan memutuskan hubungan. Kami tetap anak yang menghormati, cuma kami menjaga batas iman
Saya ingin membuat sedikit penjelasan agar tidak timbul salah faham.
Dalam Islam, akidah adalah perkara paling utama. Seorang Muslim dibenarkan untuk hadir memberi penghormatan terakhir, menziarahi, membantu urusan keluarga, mengiringi jasad, dan menunjukkan kasih sayang sebagai anak serta sebagai manusia.
Namun sebagai Muslim, kami tidak dibenarkan menyertai ritual ibadah agama lain, bukan kerana benci, bukan kerana tidak menghormati tetapi kerana setiap agama mempunyai batas ibadah masing-masing.
Islam mengajar kami:
- Berbuat baik kepada ibu bapa walaupun berlainan agama
- Menjaga hubungan kekeluargaan
- Menghormati sesama manusia
- Tetapi tidak dibenarkan mencampuradukkan ibadah
Tentang hidayah pula, bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak mampu mengislamkan bapa saudara yang sangat baginda sayangi. Ini membuktikan bahawa hidayah adalah milik Tuhan sepenuhnya, bukan paksaan manusia.
Kami hadir sebagai anak. Kami membantu sebagai keluarga. Kami menghormati sebagai manusia. Dan kami menjaga iman sebagai Muslim. Kasih tidak pernah terputus. Akidah tetap dijaga.
Seorang Muslim masih boleh hadir memberi penghormatan terakhir, kerana itu tanda kasih, tanggungjawab dan adab terhadap keluarga. Tetapi sebagai Muslim, saya tidak boleh menyertai ritual keagamaan kerana itu melibatkan ibadah dan akidah.
Hadir bukan bermaksud menyertai ritual. Hadir adalah tanda kasih. Ritual adalah urusan ibadah agama mereka. Bila seseorang bertanya, “Jika tak buat ritual, kenapa hadir?”
Saya hadir kerana saya anaknya. Saya hadir kerana hormat saya pada keluarga. Saya hadir kerana saya tahu tanggungjawab saya bukan hilang hanya kerana kami berbeza agama.
Terima kasih kepada semua yang memahami. Semoga kita semua belajar untuk saling menghormati perbezaan dengan akhlak, bukan dengan emosi.

Gambar tangkap kayar dikongsikan Adam Corrie di ruangan komen hantaran tersebut.
Reaksi pengguna Facebook menunjukkan sokongan dan penghargaan terhadap penjelasan Adam.
Antaranya Norliza berkata, “Alhamdulillah penjelasan yg sgt baik. Allahu Akbar.. Betul tu kena belajar byk ilmu dan faham adab adat budaya akhlak kepelbagaian agama. Bila kita faham semua jadi baik mudah dan harmoni.”
Sabri pula menambah, “Alhamdulillah, satu penjelasan yang sangat teliti dan mudah difahami. Salam takziah buat Bro Adam Corrie dan keluarga.”
Nazmir pula meninggalkan komen, “Banyak dapat belajar dari sini, salah satu contoh tauladan pada saudara baru yang akan datang.”
Perkongsian ini menjadi teladan bahawa perbezaan agama bukan penghalang untuk menghormati keluarga. Kasih sayang tetap boleh ditunjukkan, tetapi akidah Muslim perlu dijaga dengan penuh kesedaran dan adab.
Baca juga: Tular Kartun Comel Ada Unsur ‘Double Meaning’, Siap Ajar Anak Rahsiakan Mak Buat Maksiat!
Sumber: Facebook Adam Corrie
