Berita menggembirakan buat ramai pengguna tren apabila perjalanan ke Johor Bahru kini jadi lebih mudah dan menjimatkan, susulan pengenalan laluan ETS ke JB Sentral yang hadir bersama tawaran diskaun istimewa daripada KTMB.
Tawaran ini menyasarkan penumpang sektor KL Sentral–JB Sentral, membolehkan rakyat Malaysia menikmati perjalanan yang lebih selesa tanpa perlu risau soal kos. Secara tak langsung, ia merancakkan juga ekonomi pelancongan negara.
DISKAUN KTMB SEMPENA PEMBUKAAN LALUAN ETS KE JB SENTRAL

Gambar hiasan: KTMB
Kod promosi untuk diskaun 30%
Menurut kenyataan KTMB, diskaun 30 peratus itu sah bermula 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026. Penumpang hanya perlu menggunakan kod promosi JBBEST semasa membeli tiket melalui aplikasi KITS Style, laman web rasmi KTMB, atau mesin kios di stesen-stesen KTMB.
Sebanyak 5,000 kod promosi disediakan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata pengoperasian ETS ke JB Sentral bukan sahaja memudahkan mobiliti harian rakyat, malah turut menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Johor. Ia memberi peluang pelancong tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Singapura, untuk menikmati perjalanan cepat dan efisien.
“Pelaksanaan perkhidmatan ini tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, ketika ramai rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Johor. Penduduk Johor pula boleh bergerak mudah ke destinasi luar negeri melalui sambungan tren ETS,” jelas beliau.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) kini siap sepenuhnya, membabitkan jajaran sepanjang 192 kilometer dan 11 stesen, menandakan kemajuan infrastruktur kereta api negara yang signifikan.
Perkhidmatan ETS akan diaktifkan secara berfasa untuk laluan sektor utara selaras dengan proses pentauliahan set ETS.
Untuk pembelian tiket, penumpang boleh menggunakan aplikasi KITS Style, melayari laman web rasmi KTMB, atau menggunakan kios di stesen KTMB bagi pengalaman yang lebih mudah.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.


Baca juga: Malaysia Sambut Pasangan Panda Gergasi Baharu, Ramai Anak-Anak Dah Melompat Nak Pergi Zoo Negara!
FT Image: Berita Harian / KTMB Berhad
