Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan beberapa kemudahan khas buat penumpang sempena sambutan perayaan Thaipusam tahun ini, termasuk lanjutan waktu operasi perkhidmatan sehingga 24 jam.
Baca juga: JPJ Tidak Lagi Keluarkan Slip Cukai Jalan (Road Tax) Fizikal Mulai 1 Februari 2026, 100% Digital!
SEMPENA PERAYAAN THAIPUSAM, OPERASI 24 JAM & KOC WANITA TANGGUH 4 HARI

Foto: AMalaysiansummer
Menerusi pengumuman rasmi, operasi 24 jam itu akan berlangsung selama empat hari bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026, bagi memudahkan pergerakan orang ramai khususnya ke lokasi tumpuan perayaan.
Dalam tempoh sama, KTMB turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan koc wanita bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang akan ditangguhkan sementara waktu sepanjang empat hari tiga malam berkenaan.
Menurut KTMB, langkah tersebut diambil bagi melancarkan aliran penumpang serta memastikan keselesaan pengguna ketika jumlah penumpang dijangka meningkat secara mendadak.
“Pelanggan yang dihormati, dimaklumkan bahawa sempena perayaan Thaipusam, penguatkuasaan Koc Wanita bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang tidak akan dilaksanakan bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026,” jelas KTMB dalam satu kenyataan.
Menariknya, sempena cuti panjang Thaipusam, KTMB juga menawarkan tambang percuma kepada pengguna KTM Komuter Lembah Klang selama dua hari, iaitu pada 31 Januari dan 1 Februari 2026.

Foto: Media Perpaduan
Inisiatif ini dijangka memberi kelegaan kepada orang ramai selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sepanjang tempoh perayaan. Orang ramai disarankan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan keselamatan demi kelancaran perjalanan.
Sumber: KTM Berhad
