Kelantan mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang meluluskan undang-undang mewajibkan anak menanggung nafkah ibu bapa, selaras dengan cadangan yang sedang diperincikan kerajaan Persekutuan!
Usul itu termaktub dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam 2025, yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 12 November lalu.
Baca juga: Bila Dah Kahwin, Suami WAJIB Utamakan Nafkah Kepada Isteri Atau Ibu Bapa Dahulu?
ANAK WAJIB BERI NAFKAH IBU BAPA, DATUK NENEK & MOYANG DI KELANTAN

Foto: Sinar Harian
Menurut Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud, langkah ini menjadi pendekatan penting negeri dalam menangani isu pengabaian warga emas yang semakin membimbangkan.
Jelas Mohd Asri lagi, peruntukan baharu ini membolehkan mahkamah mengarahkan anak atau cucu membayar nafkah bukan sahaja kepada ibu bapa, tetapi juga kepada datuk, nenek, dan moyang mereka sekiranya perlu. Lebih menarik, waris pusaka juga boleh dipertanggungjawabkan menjaga warga emas yang tidak mempunyai anak.
“Ini adalah langkah menyeluruh untuk memperkukuh peranan anak dan waris terhadap keluarga, khususnya golongan tua yang semakin terpinggir,” katanya.
RUU Keluarga Islam 2025 mengandungi 11 bahagian, 178 seksyen dan enam jadual, merangkumi keseluruhan aspek hukum kekeluargaan Islam termasuk perlindungan wanita, kanak-kanak dan warga emas. Undang-undang ini turut menekankan penyelesaian konflik secara adil serta penjagaan maruah keluarga.
Menurut Mohd Asri, rang undang-undang ini digubal sebagai usaha awal memperkukuh institusi keluarga dan menyediakan rangka kerja hukum yang lebih jelas serta holistik.
Seterusnya, mungkin negeri lain pula?

Foto hiasan AI.
Sebelum ini, kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa undang-undang khusus berkaitan nafkah ibu bapa uzur dan tidak berkemampuan sedang dirangka dan dijangka diperincikan pada tahun 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa JKSM akan memasukkan peruntukan yang lebih jelas mengenai punca kuasa mahkamah bagi memastikan semua anak dipertanggungjawabkan memenuhi keperluan asas ibu bapa yang tidak berupaya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berhubung usaha negara memperkukuh tanggungjawab anak terhadap ibu bapa. Jadi, negeri perintis adalah Kelantan dan mungkin kita akan dengar beberapa negeri lain pula yang akan mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa ini. Dapat pahala ya!
Baca juga: Tak Salah Nak Kahwin Baharu Tapi Si DUDA ADA ANAK Jangan Buat-Buat Lupa 7 Nafkah Wajib Ini!
Sumber: Sinar Harian
