Seorang ibu tunggal, Mizah Salleh tampil bersuara mengenai tunggakan nafkah anak yang kini mencecah RM70,750! Ini merupakan satu jumlah besar yang terpaksa ditanggung bersendirian sejak November 2020.
Semuanya berlaku apabila bekas suaminya gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah dipersetujui di mahkamah.
Baca juga: Tak Salah Nak Kahwin Baharu Tapi Si DUDA ADA ANAK Jangan Buat-Buat Lupa 7 Nafkah Wajib Ini!
RM70,750 Tunggakan Nafkah Anak Sejak 2020, Ibu Tanggung Sendirian

Dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, Mizah berkongsi jumlah tunggakan tersebut berdasarkan perintah mahkamah Syariah yang menetapkan bayaran nafkah sebanyak RM1,350 sebulan, tidak termasuk kos tambahan seperti persiapan persekolahan, Hari Raya dan keperluan harian lain.
“Gambar ini bukan sekadar angka dalam buku. Ini adalah bukti bertahun-tahun perjuangan saya membesarkan anak-anak sendirian, tanpa sesen nafkah sejak 2020,” luahnya.
Menurut Mizah, sepanjang tempoh empat tahun lalu, beliau terpaksa memikul sepenuhnya beban kewangan demi memastikan anak-anak terus membesar dengan cukup makan, pakai dan pendidikan. Tanggungjawab ini sepatutnya dikongsi bersama, bukan dibiar berat sebelah.
“Dari November 2020 hingga Disember 2024, bekas suami sepatutnya membayar RM1,350 sebulan seperti dipersetujui di hadapan hakim. Tapi sampai hari ini, satu sen pun tak masuk. Semua kos tambahan seperti buku, pakaian raya, yuran sekolah, semuanya saya tanggung sendiri…” luahnya.
Mizah meluahkan rasa kecewa apabila bekas suaminya langsung tidak menghubungi atau memberi maklum balas, walaupun pernah berjanji di hadapan hakim dan Allah untuk menunaikan nafkah anak-anak setiap bulan.
DAH JADI ‘BEKAS ISTERI’ BUKAN ALASAN ABAI ANAK

Foto: Puan Mizah Salleh
“Ini bukan soal hubungan kami yang sudah berakhir. Ini soal tanggungjawab seorang bapa terhadap darah daging sendiri. Jangan jadikan ‘bekas isteri’ sebagai alasan untuk abaikan hak anak-anak…”
Meskipun kini sudah berkahwin semula dengan lelaki yang bertanggungjawab, Mizah menegaskan bahawa tanggungjawab seorang bapa tidak terhenti hanya kerana status perkahwinan berubah.
“Anak-anak mungkin tidak faham apa itu ‘tunggakan’, tapi mereka rasa kesannya. Bila kasut sekolah koyak tak berganti, bila buku tak cukup, bila permintaan kecil terpaksa ditangguh demi keperluan yang lebih mendesak…”
Dalam masa sama, Mizah menyeru agar lebih ramai wanita yang senasib dengannya bangkit mempertahankan hak anak-anak mereka. Beliau menggalakkan para ibu agar menyimpan bukti lengkap dan tidak gentar untuk menuntut keadilan di saluran yang betul.
Katanya, sangat penting untuk ibu minta apa yang telah dijanjikan, apa yang hak anak-anak. Jangan diam. Jangan takut. Mereka tidak pernah salah dilahirkan.
*Hantaran ibu ini telah mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, sekali lagi membuka mata ramai terhadap isu serius kegagalan membayar nafkah anak, beban yang masih banyak ditinggalkan di bahu ibu-ibu tunggal di negara ini.
Baca juga: Bila Dah Kahwin, Suami WAJIB Utamakan Nafkah Kepada Isteri Atau Ibu Bapa Dahulu?
Sumber: Mizah Salleh
