Bila banjir melanda, bukan sahaja rumah, kenderaan dan perabot yang rosak malah pakaian pun banyak yang terendam dalam air keruh bercampur lumpur. Lebih sedih bila pakaian berlumpur itu sebenarnya pakaian kegemaran atau ada nilai sentimental untuk kita.
Jangan risau, kebanyakan pakaian masih boleh diselamatkan jika dicuci dengan cara yang betul. Berikut adalah langkah lengkap untuk membersihkan pakaian yang terendam air banjir supaya kembali bersih, selamat dan wangi seperti biasa.
CARA BASUH PAKAIAN BERLUMPUR KENA AIR BANJIR, JADI MACAM BARU!

Foto: freepik
1. Buang lumpurnya terlebih dahulu
Kebanyakan kedai dobi memang tidak akan menerima pakaian yang penuh lumpur, jadi langkah pertama perlu dilakukan di rumah.
- Rendam pakaian dalam baldi atau tong besar sehingga lumpur mula tanggal.
- Ulang bilasan beberapa kali sehingga air bilasan menjadi jernih.
- Jika lumpur degil, gunakan semburan air kuat (water jet) untuk menolaknya keluar.
Tip: Lagi cepat anda bersihkan lumpur, lebih mudah kotoran ditanggalkan.
2. Asingkan mengikut warna
Selepas lumpur tanggal, asingkan pakaian putih dan berwarna. Ini penting supaya warna tidak bercampur ketika proses membasuh seterusnya, terutama untuk kain yang sudah lama terendam banjir.
3. Rendam dalam air panas untuk matikan kuman
Air banjir mengandungi pelbagai bakteria, virus dan sisa pencemaran. Untuk memastikan pakaian betul-betul selamat dipakai:
- Rendam pakaian dalam air panas sekurang-kurangnya 5 minit.
- Jika air sejuk, tambah air panas baru.
- Masukkan sedikit cecair pencuci anti-kuman atau pembasmi virus untuk perlindungan tambahan.
4. Pakaian bayi: Rendam sekali lagi dengan larutan anti-kuman
Pakaian bayi dan kanak-kanak memerlukan perhatian lebih. Rendam sekali lagi selama 10 minit dalam air bercampur cecair pembasmi kuman. Tidak perlu lama, tetapi cukup untuk memastikan bakteria hilang sepenuhnya.
5. Basuh seperti biasa, tapi guna mode paling lama
Selepas direndam dan dibersihkan:
- Masukkan pakaian ke dalam mesin basuh.
- Pilih mode cucian paling lama supaya kotoran hilang sepenuhnya.
- Boleh tambah sedikit baking soda atau oxygen bleach untuk kesan lebih segar.
6. Jemur Di Bawah Matahari Terik
Akhir sekali, pastikan pakaian kering 100%.
- Jemur terus di bawah cahaya matahari—matahari membantu membunuh baki kuman.
- Jika menggunakan mesin pengering di dobi layan diri, pilih tempoh lebih panjang supaya pakaian benar-benar kering dan tidak berbau hapak.

Foto: freepik
Walaupun renyah, proses ini penting untuk menjaga kesihatan keluarga lebih-lebih lagi selepas air banjir yang tidak diketahui tahap pencemarannya. Semoga tip ini membantu anda menyelamatkan pakaian yang terendam dan mengurangkan kerugian selepas bencana!
Baca juga: Video Lipan ‘Bertenggek’ Dalam Air Banjir Buat Ramai Meremang, Netizen Titip Pesanan Hati-Hati!
Sumber: Popmama
