Suami meninggal dunia saat si isteri sedang menunggu detik bersalin adalah sebuah ujian yang tidak terbayang mampu ditanggung oleh mana-mana wanita.
Kisah pilu ini yang dikongsikan oleh Mr Wan Cai Official ini bukan sahaja mengundang sebak, tetapi turut mengajak kita bermuhasabah bahawa ajal dan takdir tidak pernah menunggu sesiapa.
Baca juga: Graduan UTM Berjaya Rangkul PhD, ‘Hidup’ Dengan Gangguan Bipolar & Autisme Bukan Alasan…
SUAMI MENINGGAL DUNIA KETIKA ISTERI HITUNG HARI NAK MELAHIRKAN

Pada 22 November 2025, arwah dikhabarkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terlibat dalam kemalangan tragis di Bukit Canggang, Banting.
Insiden dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux secara tiba-tiba memotong dan memasuki laluan bertentangan, lalu merempuh motosikal yang ditunggang Allahyarham. Rempuhan kuat itu menyebabkan arwah tercampak, manakala motosikalnya terseret dan terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda tersebut.
Akibat kecederaan parah, arwah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian hanya mampu mengesahkan pemergiannya sebelum jenazah dibawa ke Hospital Banting untuk proses seterusnya.
Proses bedah siasat dijalankan bermula jam 9.30 pagi dan selesai sekitar 12.30 tengah hari.
Jenazah kemudian dituntut oleh empat sukarelawan UKVJ HQ sebelum dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus, Batu Belah, Klang.
Namun yang paling meruntun jiwa adalah keadaan isterinya. Masih berada di wad hospital, menunggu kelahiran anak mereka dan si isteri hanya mampu melihat wajah suami buat kali terakhir melalui panggilan video yang dilakukan adiknya.

Difahamkan, pasangan ini hidup berjauhan sementara waktu kerana isterinya berada di Kedah bagi menjaga ibu yang sedang sakit, manakala arwah bekerja dan tinggal di Seri Kembangan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang. Hujan lebat yang turun ketika pengebumian berlangsung seakan turut menggambarkan kesedihan di atas pemergian insan yang disayangi ramai.
Beratnya ujian melahirkan anak tanpa kehadiran suami di sisi hanya Allah sahaja yang tahu. Namun setiap takdir itu pasti datang bersama hikmah dan kekuatan yang diberi Tuhan.
Semoga roh Allahyarham Mohd Rowi bin Ibrahim dicucuri rahmat, dan semoga isterinya dikurniakan kekuatan luar biasa untuk meneruskan hidup serta menyambut kelahiran anak mereka dengan hati yang tabah.
Baca juga: Wahai Suami… Jangan Abaikan 3 Perasaan Isteri Ketika Berpantang, Rumah Tangga Boleh ‘Retak’
Sumber: Mr Wan Chai Official
