Euforia Bola 2026
Kini Trending

Lebih RM2 Bilion Untuk Sabah: Internet Pantas & Bandar Pintar Bakal Menjadi Realiti!

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM2 bilion bagi memacu pembangunan digital di Sabah, daripada bandar pintar, perluasan rangkaian Internet, hinggalah kepada kemudahan digital untuk komuniti luar bandar.

Langkah ini disambut baik oleh MCMC yang mengesahkan bahawa semua inisiatif besar tersebut kini sedang dan bakal dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri.

Peruntukan ini bukan sekadar menaik taraf kelajuan Internet, tetapi memberi akses digital yang lebih menyeluruh kepada rakyat, termasuk di pulau-pulau dan kawasan pedalaman. Jom tengok ringkasan manfaat terbesar untuk rakyat Sabah.

Lebih RM300 juta untuk transformasi digital bandar di Kota Kinabalu

Salah satu inisiatif utama ialah projek Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, hasil kerjasama strategik MCMC dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.

Projek ini melibatkan pembangunan infrastruktur digital bernilai lebih RM300 juta, termasuk perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan smart poles berintegrasi 4G dan 5G, serta sistem CCTV pintar yang disambungkan terus ke Integrated Operations Centre.

Semua usaha ini bertujuan meningkatkan keselamatan, kecekapan bandar serta pengalaman rakyat menikmati perkhidmatan digital moden.

JENDELA 2: liputan 100% di kawasan berpenduduk

Untuk memastikan setiap rakyat Sabah menikmati kemudahan Internet yang stabil, JENDELA 2 akan menambah 800 lokasi baharu, terutama di pedalaman dan pulau.

Nilai keseluruhan projek: RM1.4 bilion (pembangunan + kos operasi 5 tahun).

Manfaat terbesar iaitu 3.7 juta rakyat Sabah dijangka menerima ketersambungan lebih baik dan liputan hampir 100% di kawasan berpenduduk.

Akses internet & latihan digital untuk komuniti

internet

Sehingga September 2025, terdapat 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sabah, dengan kos operasi RM210 juta untuk 5 tahun.

Pusat NADI menyediakan:

  • Akses Internet
  • Latihan kemahiran digital
  • Program literasi digital
  • Perkhidmatan dalam talian
  • Ruang pembelajaran untuk komuniti setempat

Inisiatif ini memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam ekonomi digital.

FTTH untuk anggota tentera: 6,900 kediaman di Sabah sudah terhubung

Kerajaan juga melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) khusus untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera.

Setakat ini, sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat daripada inisiatif ini, melibatkan kira-kira 6,900 kediaman, dengan kos keseluruhan sebanyak RM14.2 juta, memastikan anggota tentera dan keluarga mereka mendapat kemudahan digital yang setara dengan komuniti lain.

MCMC menegaskan bahawa setiap usaha ini diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah, sama ada dari segi kualiti rangkaian, keselamatan dalam talian, pengalaman pengguna, mahupun pembangunan bandar pintar secara menyeluruh.

Dengan peruntukan besar ini, Sabah kini berada pada landasan kukuh untuk transformasi digital, dan lebih ramai penduduk dijangka menikmati akses Internet yang stabil, setara, dan berimpak tinggi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×