Ramai menyangka haiwan berduri seperti landak raya tidak boleh dijinakkan, namun bagi Khairul Johari, 42, anggapan itu jauh tersasar.
Menurutnya, landak sebenarnya bukanlah haiwan ganas seperti yang sering digambarkan, sebaliknya manja dan mudah didekati apabila dibela dengan cara yang betul.
Baca juga: 17 Ekor Lembu Mati Termakan Rumput Tercemar Bahan Kimia, Penternak Rugi Hampir RM50,000
BUDAK 1 TAHUN TIDUR LENA SEBELAH LANDAK RAYA

“Saya sudah membela tujuh ekor landak raya sejak lapan tahun lalu. Setiap seekor ada nama dan perangainya tersendiri — Blacky, Dino, Tuah, Daisy, Dina dan Dini. Semuanya saya anggap sebahagian daripada keluarga,” katanya.
Khairul berkata, walaupun landak mempunyai duri tajam, haiwan itu hanya mengembangkan durinya apabila berasa terancam. Dalam keadaan biasa, ia jinak dan tidak berbahaya kepada manusia.
Katanya lagi, anak-anaknya turut gemar bermain dengan haiwan berkenaan kerana sifatnya yang lembut dan suka dimanja.
Perkongsian Khairul di Facebook mengenai kehidupan harian bersama landak peliharaannya menarik perhatian ramai apabila tular dan menerima lebih 31,000 tanda suka.
Dalam salah satu foto, dapat dilihat anak bongsunya sedang tidur lena di sisi seekor landak bernama Blacky.

“Saya cuma mahu tunjukkan kepada masyarakat bahawa landak boleh dijadikan haiwan peliharaan, asalkan ada lesen sah daripada Perhilitan. Tapi saya tak sangka pula perkongsian itu jadi tular,” jelasnya.
Selepas video itu mendapat perhatian, Khairul menerima ratusan mesej daripada individu yang berminat membeli landak. Namun, beliau menegaskan bahawa dirinya hanya mempunyai lesen simpan, bukan lesen jual.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar membeli haiwan eksotik daripada pembiak baka berdaftar bagi memudahkan proses mendapatkan lesen sah.
“Kalau bela tanpa lesen, memang boleh dikenakan tindakan. Jadi lebih baik ikut saluran yang betul,” pesannya.
Selain landak, Khairul turut memelihara beberapa haiwan lain termasuk buaya, musang dan burung, hasil minat mendalam terhadap dunia haiwan.
Sumber: Facebook & Harian Metro
