Euforia Bola 2026
Inspirasi

Ditinggal Isteri, Hidup & Belajar Dalam Penjara 3 Tahun..Lelaki Ini Berjaya Genggam Ijazah Sarjana UUM!

ijazah sarjana

Tiada siapa menyangka hidupnya akan berubah sekelip mata, daripada seorang anggota keselamatan beruniform kemas kepada tahanan yang terkurung di sebalik tembok besi. Namun, kini lelaki berusia 35 tahun itu berdiri tegak di pentas menggenggam segulung Ijazah Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan).

Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi saksi dan bukti bahawa harapan tidak pernah mati, walau di tempat paling gelap sekalipun.

Baca juga: Patutlah ‘Tak Laku’ Diambil Bekerja, Rupanya 38 Program Akademik Universiti Ini Dah Tak Relevan

Kisah inspirasi banduan UUM genggam ijazah sarjana selepas 3 tahun di penjara Alor Setar

ijazah sarjana

Foto: Universiti Utara Malaysia

Segalanya bermula pada 20 Jun 2022, apabila dia ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ketika itu, dunia saya terasa gelap. Tiada jaminan, tiada kebebasan, hanya tembok dan kesunyian menemani,” ujarnya.

Selama tiga tahun di Penjara Alor Setar, masa seakan terhenti. Seragam yang dulunya menjadi lambang disiplin dan maruah bertukar kepada pakaian ungu tahanan. Lebih menyedihkan, gajinya ditahan dan rumah tangganya musnah di tengah kekalutan jiwa.

“Isteri saya memohon fasakh ketika saya di dalam penjara. Saat itu jiwa saya hampir rebah. Tapi saya percaya, Tuhan tidak menghukum saya tapi Dia sedang mendidik saya menjadi manusia baru,” katanya dengan nada sebak.

Daripada rasa putus asa, dia memilih untuk bangkit. Dengan semangat dan bantuan pensyarah UUM, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud, Dr. Mazli Mutazam, serta keprihatinan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan pihak Penjara Alor Setar, dia dibenarkan menyambung pengajian dari dalam penjara.

Bayangkan, menulis tesis dalam sel sempit berukuran 8×15 kaki, berlampu samar, tanpa kipas, tidur beralaskan pelapik getah setebal setengah inci.

“Saya menulis, membaca dan berdoa setiap hari. Saya mahu keluar bukan sekadar sebagai orang bebas, tetapi sebagai graduan yang membuktikan bahawa ilmu itu kebebasan sebenar,” katanya.

Cabaran datang tanpa henti seperti tiada internet, bahan bacaan terhad dan komunikasi yang sukar. Namun, semangatnya tidak pernah padam.

Hari Viva Dalam Pakaian Tahanan

ijazah sarjana

Foto: Universiti Utara Malaysia

Tanggal 18 September 2024 menjadi saksi perjuangan luar biasa itu. Dia berdiri di hadapan panel pemeriksa dengan berpakaian ungu tahanan.

“Tiada tali leher, tiada uniform. Tapi saya ada keyakinan bahawa ilmu mampu membebaskan jiwa. Saat pengerusi mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu, saya tahu Allah tidak pernah meninggalkan saya,” ujarnya.

Tidak lama kemudian, kisahnya tular “Tahanan Penjara Alor Setar Lulus Viva” menjadi inspirasi kepada ramai. Di sebalik kisah luar biasa itu, ada satu sosok yang tidak pernah berhenti percaya iaitu ibunya.

“Beliau yang paling banyak berkorban. Menyediakan apa saja supaya saya boleh terus belajar. Dia menangis, berdoa, dan tak pernah berhenti percaya,” katanya penuh sebak.

Tahun 2025 menjadi tahun paling bermakna dalam hidupnya apabila pada 1 April 2025, dia dibebaskan selepas mahkamah memutuskan dia tidak bersalah. Dan kini, beberapa bulan kemudian, dia menerima ijazah sarjana di hadapan ribuan hadirin.

“Saya rasa dua kemenangan hari ini iaitu bebas dari penjara, dan bebas dari kejahilan. Kini saya tahu, kebebasan sebenar bukan bila pintu sel dibuka, tetapi bila minda kita tidak lagi dikurung oleh pandangan orang lain,” katanya penuh makna.

Hari ini, dia bukan lagi tahanan. Dia adalah graduan, anak, dan insan baharu yang membawa harapan.

“Menjadi berbeza itu tidak mudah, tapi untuk berjaya, kita mesti berani melalui jalan sepi dan berliku. Saya percaya, kasih, kepercayaan, dan ilmu boleh mengubah sesiapa sahaja,” katanya menutup bicara.

Benarlah, di sebalik setiap ujian, Tuhan sedang menulis kisah kebangkitan dan kisahnya membuktikan bahawa setiap jiwa berhak mendapat peluang kedua. Syabas!

Baca juga: Baru Usia 8 Tahun, Anak Dr. Sheikh Muszaphar Dah ‘Obses’ Algebra…Siap Menang Pertandingan Dunia!

Sumber: Universiti Utara Malaysia Official FB

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×