Dalam keadaan sakit, ramai pasangan suami isteri tertanya-tanya adakah hubungan intim masih dibenarkan dalam Islam. Isu ini sering timbul apabila salah seorang pasangan mengalami keuzuran seperti demam, keletihan melampau atau sakit yang menjejaskan keselesaan ketika bersama.
Berikut merupakan penjelasan dari portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS).
HUKUM BUAT HUBUNGAN INTIM DALAM KEADAAN SAKIT
Menurut PMWP, Islam sangat menitikberatkan prinsip tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Dalam Irsyad Al-Fatwa Siri ke-755, pejabat mufti menjelaskan bahawa hubungan suami isteri mestilah dilakukan dengan kerelaan dan tanpa paksaan, serta tidak boleh menyebabkan kecederaan atau kemudaratan kepada pasangan.
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” Surah al-Nisa’ (19)
Sementara itu, JMNS turut menyatakan bahawa sekiranya isteri berada dalam keadaan sakit dan tidak mampu memenuhi ajakan suami, maka hukumnya harus bagi isteri untuk menolak dan suami juga tidak boleh memaksa.
Dalam keadaan seperti ini, Islam menuntut toleransi dan empati antara pasangan kerana menjaga kesihatan dan kebajikan adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
Namun, jika keadaan kesihatan hanya ringan dan tidak menjejaskan tubuh badan, maka pasangan boleh berbincang dan bersepakat dengan cara yang baik. Islam tidak menolak fitrah dan keperluan batin, tetapi ia perlu disesuaikan dengan kemampuan serta keadaan semasa pasangan.
Kesimpulannya, dalam keadaan sakit, hubungan intim suami isteri dibolehkan sekiranya tidak memudaratkan, namun jika ia mendatangkan kesakitan atau risiko kepada mana-mana pihak, maka harus dielakkan sementara waktu.
Prinsip utama yang ditekankan oleh Islam ialah menjaga kesihatan, kasih sayang dan keharmonian rumah tangga.
Baca juga: Hukum & Cara Pengurusan Tanam Anggota Badan Yang Dipotong Mengikut Syariah
FT Image: Jasni (shutterstock)

