Seorang penghantar makanan di Malaysia meraih perhatian ramai selepas berkongsi kisah akan mengambil peperiksaan SPM ulangan atau SPMU kerana menyesal ambil mudah dalam hal pelajaran ketika zaman sekolah dahulu.
Dalam perkongsian jujurnya di media sosial, lelaki muda itu menceritakan bagaimana lima tahun hidupnya dihabiskan berpindah-randah antara platform penghantaran makanan sebelum akhirnya menyedari betapa berbezanya hidup jika dahulu dia lebih fokus semasa SPM.
Baca juga: [TERKINI] Jadual Lengkap Peperiksaan SPM 2025 Untuk Rujukan Calon Pelajar & Ibu Bapa
PENGHANTAR MAKANAN MENYESAL AMBIL MUDAH HAL PELAJARAN, NEKAD NAK AMBIL SPM ULANGAN

Foto: Threads
Menerusi perkongsiannya di laman Threads, dia meluahkan rasa menyesal kerana tersalah memilih jalan hidup.
“Dah hampir lima tahun saya kerja macam ni. Dulu masa SPM, saya malas belajar, banyak tidur je. Sekarang baru rasa menyesal, tapi nak buat macam mana, saya yang pilih jalan ni,” tulisnya.
Namun, dia tidak membiarkan penyesalan itu menghancurkan masa depannya. Sebaliknya, dia nekad untuk menulis semula kisah hidupnya dengan keputusan berani iaitu mengulang peperiksaan SPM tahun ini.
“Saya anggap ini peluang kedua. Harap saya dapat guna peluang ni sebaik mungkin. Doakan saya ya kawan-kawan..” tambahnya di perkongsian tersebut.
“Tak Pernah Terlambat Untuk Mula Semula” – Netizen

Foto: Capitol Post
Perkongsian itu segera menjadi tular dan menerima ribuan komen positif daripada netizen yang kagum dengan kejujuran serta semangatnya. Ramai mengingatkan bahawa setiap orang bergerak mengikut rentak hidup masing-masing, dan keberanian untuk bangkit semula selepas tersilap langkah adalah sesuatu yang patut dibanggakan.
Selain itu, netizen juga menegaskan bahawa pekerjaan sebagai rider bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak wajar dipandang rendah.
“Kalau tak ada rider, makanan dan barang keperluan kita pun tak sampai ke rumah,” kata seorang pengguna untuk menaikkan semangat.
Kisah ini menjadi peringatan lembut buat ramai bahawa walaupun hidup tidak selalu berjalan seperti dirancang, peluang kedua sentiasa ada, asalkan kita berani melangkah semula. Semoga berjaya buat anak-anak muda yang masih berjuang dalam mencari pekerjaan!
Baca juga: Pembantu Setiausaha Pejabat UTM Graduan PhD Cetus Inspirasi Ramai..Bawa Gelaran ‘Dr’
Sumber: (Foto Capitol Post), Threads
