Ramai pelancong ke negara Gajah Putih pasti pernah membeli inhaler herba Thailand kecil yang popular kerana baunya wangi dan memberi rasa segar bila disedut.
Namun, baru-baru ini pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Thailand (FDA Thailand) mengumumkan penarikan balik produk Hong Thai Herbal Inhaler Formula 2 selepas didapati tercemar dengan mikroorganisma berbahaya. Alamak!
Baca juga: Bahaya Tersembunyi, NPRA Dedah Lebih 200 Produk INI Ada Kapur Barus, Jadi Punca Anak Kerap Sawan!
Inhaler Herba Thailand Dikesan Mengandungi Bakteria & Kulat Berbahaya

Hasil ujian makmal mendapati inhaler ini mengandungi bakteria dan kulat, termasuk Clostridium spp. iaitu sejenis bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan serius pada paru-paru dan sistem pernafasan.
Apabila seseorang menyedut produk tercemar ini, mikroba halus boleh masuk terus ke dalam saluran pernafasan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti:
- Batuk berpanjangan dan sesak nafas
- Jangkitan paru-paru (pneumonia)
- Reaksi alergi teruk, terutamanya bagi pesakit asma
- Risiko jangkitan darah bagi individu yang mempunyai sistem imun lemah atau warga emas
Menurut laporan, bakteria Clostridium spp. jarang ditemui dalam produk herba, namun ia boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti empiema paru-paru, iaitu pengumpulan nanah dalam rongga paru-paru.
Produk yang terbabit dalam penarikan semula ialah:
- Hong Thai Herbal Inhaler Formula 2
- Nombor Batch: 000332
- Tarikh Dikeluarkan: 9 Disember 2024
- Tarikh Luput: 8 Disember 2027
Tidak Berdaftar Dengan KKM

Foto: freepik
Untuk pengetahuan anda, di Malaysia, produk ini tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini bermakna tiada jaminan keselamatan atau kualiti, dan produk ini tidak diluluskan untuk digunakan di negara ini.
Ramai pengguna terpedaya dengan label ‘herba semula jadi’ dan bau yang menyegarkan, namun penting untuk diingat bahawa produk yang tidak diuji makmal boleh membawa risiko kesihatan serius.
Jika anda pernah membeli inhaler herba ini ketika melancong ke Thailand, elakkan daripada menggunakannya lagi. Sebaiknya buang produk tersebut dan dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami simptom seperti batuk, sesak nafas, atau demam selepas menggunakannya.
Baca juga: Senarai 20 Hospital Paling Dipercayai & TERBAIK Di Malaysia 2025, Nombor 4 Ramai ‘Approved’!
Sumber: Public Health Malaysia
