Bunyi batuk kadangkala dianggap remeh, lebih-lebih lagi bila cuaca tak menentu seperti sekarang. Tapi tahukah anda, simptom yang nampak ‘biasa’ ini sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada masalah paru paru kronik?
Di laman Facebook Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa, Doktor Pakar Paru-Paru, beliau berkongsi kisah menyentuh hati tentang kehadiran seorang pesakit wanita, dikenali sebagai Puan Parameswari, ke kliniknya baru-baru ini.
Baca juga: Senarai 30+ Jenis Ikan & Buah Kena SST 5% Bermula 1 Julai, Epal & Ikan Kembung Pun Jadi ‘Mewah’!
Batuk Yang Disangka Biasa…Rupanya Ada Masalah Paru Paru Kronik Kerana Asap Dapur!

Foto hiasan: freepik
Kedengaran seperti cerita biasa, kadangkala berkahak, kadangkala kering. Jadi Puan Parameswari, 57 tahun, hanya anggap itu mungkin batuk biasa akibat cuaca.
Namun lama-kelamaan, sesuatu berubah. Setiap kali dia menaiki tangga ke rumahnya di tingkat empat, nafas terasa makin pendek. Baru sampai tingkat dua, dia sudah tercungap-cungap. Dada rasa seolah-olah dihimpit sesuatu yang berat, sangat luar biasa, dan amat membimbangkan.
“Saya rasa macam dada ni dihimpit batu besar, doktor…” katanya.
Suaminya pula menyangka isterinya cuma kepenatan biasa. Katanya, “Berehatlah sekejap…”
Tapi siapa sangka, rehat semata-mata tidak mampu menyembuhkan sesuatu yang lebih serius sedang berlaku dalam tubuhnya.
Keputusan Ujian Yang Mengejutkan

Foto hiasan.
Melihat keadaannya, Dr Nurul segera melakukan ujian spirometri dan imbasan X-ray dada. Hasilnya, chronic bronchitis dengan tanda-tanda awal COPD (Chronic Obstructive Pulmonary Disease) iaitu sejenis penyakit paru-paru yang progresif dan tidak boleh sembuh sepenuhnya.
Yang mengejutkan adalah Puan Parameswari tidak pernah merokok, tidak pernah bekerja di kilang, dan tidak pernah terdedah kepada bahan kimia industri. Namun paru-parunya seperti milik seorang perokok tegar 20 tahun.
“Satu-satunya punca konsisten yang kami jumpa… adalah asap dapur dan pencemaran udara dalam rumah,” kata doktor.
Dia tidak menyangka, dapur tempat dia memasak penuh kasih sayang untuk suami dan anak-anak selama lebih 30 tahun, kini menjadi ‘musuh dalam selimut’ kepada kesihatan dirinya sendiri.
Kisah Puan Parameswari mewakili ribuan wanita di Malaysia khususnya suri rumah berada dalam situasi sama. Setiap hari memasak di ruang dapur yang sempit, tanpa kipas pengudaraan, tanpa tingkap dibuka, tanpa disedari menyedut partikel halus dari asap masakan yang boleh menjejaskan paru-paru dalam jangka masa panjang.
Jadi, doktor memulakan rawatan dengan inhaler bronkodilator, terapi pernafasan dan memberi nasihat penting tentang pengurusan asap di dapur:
– Gunakan kitchen hood atau sistem ekzos dapur
– Sentiasa buka tingkap dan pintu
– Elakkan pembakaran arang atau kayu dalam rumah
– Gunakan mask jika perlu
Selepas beberapa minggu rawatan, Puan Parameswari kembali ke klinik dengan wajah lebih ceria.
“Doktor… saya dah boleh naik tangga sambil bawa barang dapur!” katanya.
Pengajarannya, asap dapur adalah pencemaran udara dan bukan sekadar bau masakan. Pencegahan lebih baik dari rawatan, ubahsuai dapur dan memasak boleh selamatkan nyawa.
Baca juga: “Ingatkan Telur!”- Peniaga Siang 40kg Sotong Sehari Tunjuk Cacing Dalam Sotong, Netizen Geli!
Sumber: Dr. Nurul Yaqeen
