Tular dengan tontonan melebihi 1 juta di laman TikTok baru-baru ini perkongsian menyentuh hati daripada seorang ibu dikenali sebagai @itsnjwaa_, yang memuat naik video bersama bayi istimewa berusia enam bulan, Nadra Nelyssa.
Namun di sebalik senyumannya yang manis, kisah si kecil ini membuat ramai sebak kerana Nadra merupakan anak syurga yang dilahirkan tanpa jari tangan dan kaki yang sempurna, akibat Robert Syndrome, sejenis gangguan genetik yang sangat jarang berlaku.
“Semasa mengandung, semuanya nampak normal…”- Bayi Istimewa Alami Robert Syndrome

Foto ibu bersama bayi istimewa.
Menurut ibunya, pada awal kehamilan semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Namun, pada satu ketika ukuran lilit perutnya semakin kecil daripada sepatutnya.
Bimbang dengan keadaan itu, dia dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan akhirnya terpaksa melahirkan anak secara pembedahan kecemasan (emergency caesarean).
“Masa lahir, Allah beri saya anak istimewa…Robert Syndrome ini bukan sebab keturunan atau penyakit yang saya warisi… tapi masa saya mengandung, saya alami tekanan yang sangat tinggi. Rahim saya tak dapat nak salurkan nutrisi secukupnya kepada bayi,” tulisnya.
Walaupun kelahirannya penuh debar, ibu muda itu tetap tenang menerima ketentuan Ilahi.
“Masa dia lahir, Allah bagi saya anak istimewa tak sempurna jari tangan dan kaki, tapi sihat dari segi organ dan tumbesaran. Alhamdulillah, dia normal cuma kekurangan anggota saja,” kongsinya lagi.
Bayi kecil dan comel itu kini membesar dengan baik dan ceria, menjadi sumber kekuatan dan kasih sayang dalam kehidupan ibunya. Kisah Nadra Nelyssa bukan sekadar mengundang sebak, tetapi juga mengingatkan kita bahawa setiap anak adalah anugerah dan amanah tidak kira bagaimana rupa atau keadaannya.
Ibu ini turut menasihatkan para bakal ibu agar sentiasa menjaga kesihatan mental dan fizikal semasa hamil, serta elakkan tekanan berlebihan yang boleh menjejaskan kandungan.
“Doakan Rara bulan 12 ini nak buat ujian darah untuk kromosom study. Semoga semuanya baik-baik saja,” tulisnya penuh harapan.
Di ruang komen, ramai netizen mendoakan agar Nadra membesar dengan sihat dan kuat, serta memberikan kata-kata semangat buat ibunya yang cekal. Kisah ini bukan sekadar tentang kekurangan tetapi kasih sayang, ketabahan, dan penerimaan seorang ibu terhadap ujian Ilahi. Malah, ramai yang mengatakan bahawa anak syurga ini akan menjadi anak yang luar biasa dari segi intelek.
@wawayunus_ Hi bidadari syurga mama🥰 mama nak beritahu ni ! Awak adalah anugerah terindah yang Allah beri kepada mama 💗 doakan mama boleh jaga awak sampai ke syurga tau ❤️ sayang awak dunia akhirat 🫶🏻#robertsondrom#special #love #fy ♬ suara asli – Rian Mylinz
Apa Itu Robert Syndrome?

Robert Syndrome ialah penyakit genetik yang sangat jarang berlaku, di mana terdapat masalah pada pembahagian kromosom semasa sel membahagi. Keadaan ini boleh menyebabkan beberapa bahagian tubuh tidak terbentuk dengan sempurna, terutamanya di tangan, kaki, dan jari.
Sindrom ini disebabkan oleh mutasi pada gen ESCO2, yang berfungsi dalam memastikan sel-sel tubuh membahagi dengan betul. Apabila gen ini mengalami gangguan, perkembangan fizikal bayi boleh terjejas. Antara tanda-tanda dan ciri Robert Syndrome termasuk:
- Anggota tangan dan kaki tidak sempurna (seperti tiada jari atau pendek sebelah)
- Kelewatan tumbesaran fizikal dan berat badan
- Masalah pada wajah atau bentuk kepala (dalam kes tertentu)
- Masalah organ dalaman seperti jantung atau buah pinggang (bergantung kepada tahap sindrom)
Namun begitu, tidak semua bayi dengan Robert Syndrome mengalami masalah kesihatan dalaman yang teruk. Ada yang sihat seperti bayi lain, cuma memiliki kekurangan pada anggota tubuh luar. Doakan yang terbaik untuk si kecil ini ya!
Sumber: Tiktok, MedlinePlus
