Pemergian seorang anak syurga sememangnya menjadi ujian yang sangat berat buat ibu bapa, apatah lagi apabila si kecil itu hadir selepas penantian begitu lama.
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati di Facebook, Hafizul Hakim memaklumkan bahawa bayi mereka, Ayasofya, menghembuskan nafas terakhir selepas melalui 72 jam yang sangat mencabar buat seluruh keluarga.
Baca juga: Sedang Sujud Dalam Solat…Pemuda 18 Tahun Hidap Kanser Tahap 4 Pergi Menghadap Ilahi Undang Sebak
ANAK SYURGA USIA 4 BULAN MENINGGAL SELEPAS 72 JAM KRITIKAL

Kredit: Hafizul Hakim
“Hari ini, daddy sendiri menurunkan Ayasofya ke tempat peristirahatan terakhirnya. Beratnya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
“Anak kecil yang kami tunggu selama 11 tahun, kini kembali kepada Penciptanya dalam usia 4 bulan,” jelasnya.
Menurutnya, Ayasofya merupakan anugerah yang sangat dinanti-nantikan selepas 11 tahun penantian sebelum akhirnya dijemput pulang ke sisi Allah SWT pada usia yang terlalu singkat.
Tambah Hafizul lagi, isterinya, Aliffa Rafini Abdullah amat terkesan dengan pemergian bayi perempuan yang begitu disayangi oleh seluruh keluarga itu.
Walaupun berdepan ujian yang sangat berat, mereka tetap percaya bahawa setiap anak adalah pinjaman Allah yang bila-bila masa boleh diambil kembali oleh-Nya.
Lebih memilukan, malam terakhir Ayasofya dipenuhi dengan kasih sayang ahli keluarga apabila bayi kecil itu berada dalam dakapan ibunya sambil dikelilingi ketiga-tiga abangnya.
Menurut Hafizul, mereka sekeluarga menghabiskan saat-saat akhir bersama dengan membaca al-Quran, berzikir serta melayan Ayasofya seperti kebiasaan.

Kredit: Hafizul Hakim
“Namun kami percaya, Aya hanyalah pinjaman terindah daripada Allah SWT. Dan hari ini, dengan penuh cinta dan reda, kami pulangkan dia kembali kepada-Nya.
“Detik-detik akhir kami sama-sama membaca al-quran, berzikir, bergurau dan bermain dengannya sehingga nafas terakhir,” tambahnya pilu.
Katanya lagi, setiap kali melihat denyutan jantung dan kadar oksigen Ayasofya semakin menurun, hati mereka seolah-olah hancur namun tetap setia berada di sisi bayi itu hingga ke hembusan nafas terakhir.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen yang turut menitipkan doa agar Ayasofya ditempatkan dalam kalangan anak-anak syurga serta keluarga mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan besar itu.
“Doakan agar Ayasofya ditempatkan dalam kalangan anak-anak syurga dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kami sekeluarga untuk melalui kehilangan ini,” ujarnya.
Baca juga: “Umi Pengsan 4 Kali Lihat Keadaan Anak…” Empat Pelajar Cedera Parah Kemalangan Dengan Kereta Guru
Sumber: Facebook Hafizul Hakim
