Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa mana-mana individu yang menjadi mangsa penyalahgunaan duit dalam MyKad bagi tujuan tuntutan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak akan dipinggirkan.
Mereka akan menerima semula bayaran yang sepatutnya, setelah siasatan rasmi mengesahkan berlaku penyalahgunaan identiti.
Baca juga: Rupanya Fungsi Touch N Go Pada MyKad Anda Ada Tarikh Luput, Ini Cara Untuk ‘Renew’
BANTUAN DUIT DALAM MYKAD ‘LESAP’ DISALAHGUNAKAN, AKAN DAPAT SEMULA SELEPAS SIASATAN

Foto: Kosmo
Menurut laporan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan kerajaan memandang serius isu ini dan beriltizam memastikan penerima bantuan yang layak tidak teraniaya akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad, baki bantuan SARA akan dibayar semula kepada penerima yang sah selepas siasatan selesai dan disahkan berlaku penyalahgunaan,”
Untuk itu, pemegang MyKad terbabit perlu membuat laporan polis. Kementerian Kewangan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca dan pihak terlibat. Hak penerima akan tetap dijamin,” jelasnya.
Langkah Penambahbaikan Keselamatan MyKad

Foto: TheSun
Saifuddin turut memaklumkan, kerajaan kini sedang menangani isu teknikal berkaitan keselamatan dan pengesahan MyKad, bagi memastikan pelaksanaan pusingan seterusnya bagi subsidi bersasar berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk:
- Kemas kini dan penyelarasan data MyKad secara berkala.
- Semakan lanjut bagi mengelakkan tuntutan palsu atau berganda.
- Penambahbaikan sistem keselamatan digital di peringkat JPN.
“Kerajaan komited untuk memastikan semua bentuk bantuan dan subsidi bersasar disalurkan secara telus, selamat dan adil kepada penerima sebenar,” tambah beliau.
Isu penyalahgunaan MyKad ini mendapat perhatian selepas Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Mohd Rawi Abdullah, mendedahkan bahawa kad pengenalannya yang hilang pada Julai lalu telah disalah guna untuk menuntut bantuan di bawah program SARA.
Mohd Rawi hanya menyedari perkara itu pada 30 September selepas membuat semakan menggunakan MyKad baharu dan mendapati baki dalam akaun SARA miliknya hanya tinggal RM2.70, walaupun beliau tidak pernah menggunakan bantuan tersebut.
Kesimpulannya, bagi anda yang berada dalam situasi ini jangan risau kerana kerajaan menegaskan bahawa setiap pemegang MyKad yang sah akan tetap dilindungi haknya, dan usaha penambahbaikan keselamatan identiti digital sedang diperkuat bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Sumber: BERNAMA (Foto), Kosmo
