Pernah tak ibu bapa perasan tabiat anak kecil tidur sambil tangan berada dalam seluar? Makin dibiarkan, makin menjadi-jadi bukan sahaja anak lelaki malah anak perempuan juga.
Walaupun nampak pelik dan boleh menimbulkan rasa risau, tabiat ini sebenarnya normal dan sebahagian daripada proses tumbesaran sihat kanak-kanak, kata Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak, Dr. Nisa Khalil. Baru tahu!
Baca juga: Budak 6 Tahun Main Sendirian Masukkan Guli Dalam Miss V, Doktor Sahkan Selaput Dara Terkoyak!
TABIAT ANAK KECIL TIDUR SAMBIL ‘SELUK’ TANGAN DALAM SELUAR, DOKTOR CAKAP NORMAL?

Foto hiasan.
Menurut beliau, tingkah laku ini biasanya muncul ketika anak berumur antara dua hingga empat tahun, iaitu fasa di mana mereka mula menyedari dan memahami tubuh badan sendiri dikenali sebagai body awareness.
“Ia bukan kelakuan nakal atau pelik, sebaliknya sebahagian daripada perkembangan semula jadi anak kecil,” jelas Dr. Nisa menerusi satu hantaran di Threads.
Tambahnya lagi, tabiat ini kerap berlaku apabila kanak-kanak berasa bosan, mengantuk, atau mencari rasa selesa. Seperti mana ada kanak-kanak yang menghisap ibu jari atau memeluk bantal busuk sebelum tidur, meletakkan tangan dalam seluar juga memberi mereka rasa hangat dan menenangkan.
Dr. Nisa menasihatkan ibu bapa supaya tidak memarahi atau memalukan anak apabila situasi ini berlaku. Sebaliknya, ibu bapa disarankan menegur secara lembut sambil mengingatkan anak bahawa bahagian tersebut ialah kawasan peribadi mereka.
“Boleh alihkan perhatian anak dengan memberi mereka pelukan mainan lembut, selimut kesayangan atau bacakan cerita sebelum tidur,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa tidak perlu panik jika anak tidur gaya ‘Spiderman’ dengan tangan dalam seluar.
“Ia bukan pemberontakan, cuma satu lagi bab dalam perjalanan membesarkan anak dan bab inilah yang tak pernah ditulis dalam buku manual keibubapaan,” selorohnya.
Bila perlu risau? Ramai Mak Ayah Netizen Tanya Pendapat

Foto: Motherly
Walaupun kebiasaan ini normal, Dr. Nisa mengingatkan ibu bapa agar berwaspada sekiranya terdapat tanda luar biasa seperti:
- Kemerahan atau iritasi kulit
- Rasa gatal
- Anak menunjukkan tanda ketidakselesaan
Keadaan ini mungkin berpunca daripada jangkitan, iritasi kulit, atau pakaian yang terlalu ketat, bukan semata-mata penerokaan diri.
Menariknya, di media sosial, ramai ibu bapa turut meluahkan kekeliruan dan keletihan menghadapi tabiat ini. Antara perkongsian mereka:
“Anak saya lelaki, dua tahun. Setiap kali minum susu mesti gentel kemaluan. Dah marah, dah jentik pun tak jalan..”
“Anak perempuan saya pula suka pegang dada sendiri masa minum botol. Dah cuba bagi teddy bear, tak jadi juga..”
Kebanyakan komen mendapat reaksi sama daripada ibu bapa lain yang mengakui situasi itu biasa dan akan hilang dengan usia, seiring dengan peningkatan rasa malu dan kesedaran diri anak.
Kesimpulannya, tabiat anak kecil tidur dengan tangan dalam seluar bukan tanda masalah atau salah asuhan. Ia hanyalah sebahagian daripada proses mereka mengenal tubuh sendiri dan mencari rasa selesa. Yang penting, ibu bapa kekal tenang, elakkan memarahi anak, dan bantu mereka melalui fasa ini dengan kasih sayang serta bimbingan lembut.
Sumber: Threads, Kelab Ibu Mengandung
