Ramai mungkin masih menyimpan sijil kelahiran lama iaitu yang bertulis tangan atau menggunakan kertas kecil berwarna pucat. Namun, tahukah anda bahawa sijil kelahiran jenis lama ini tidak lagi boleh digunakan untuk urusan rasmi dan perlu diperbaharui segera di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?
Perkara ini dikongsikan oleh pengguna Facebook, Mendra Edin, yang berkongsi pengalaman sendiri ketika berurusan di UTC baru-baru ini.
Baca juga: Bukan Sekadar Kad Pengenalan, Ada 5 Lagi Fungsi MyKad Yang Jarang Rakyat Malaysia Tahu!
SIJIL KELAHIRAN LAMA TAK ‘VALID’ UNTUK URUSAN RASMI

Gambar: Mendra Edin
Katanya, dia telah membawa salinan sijil kelahiran lama untuk disahkan bagi tujuan rasmi, namun dimaklumkan oleh pegawai bahawa sijil berkenaan tidak lagi diterima kerana sudah lama dan masih bertulis tangan.
“Saya fotokopi sijil kelahiran lama dan bawa ke UTC untuk pengesahan (ada urusan penting). Tetapi setibanya di sana, mereka beritahu sijil kelahiran saya perlu diperbaharui terlebih dahulu kerana masih tulisan tangan. Saya diminta terus ke JPN untuk proses pembaharuan sijil lahir,” jelasnya.
Mendra turut menasihati orang ramai supaya segera memperbaharui sijil lahir masing-masing agar tidak berdepan kesulitan ketika berurusan dengan mana-mana jabatan kerajaan atau agensi rasmi.
“Jadi kepada kamu yang masih belum memperbaharui sijil lahir, eloklah dibuat segera. Manalah tahu nanti ada urusan penting yang memerlukan dokumen asal,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bayaran RM5 dikenakan bagi setiap pembaharuan sijil kelahiran, dan pemohon perlu menyediakan satu salinan MyKad semasa proses permohonan.
- Bagi individu lahir di Semenanjung Malaysia, proses pembaharuan boleh dilakukan di mana-mana cawangan JPN atau UTC di Semenanjung.
- Individu yang lahir di Sabah atau Sarawak, pembaharuan boleh dibuat di JPN negeri asal kelahiran jika kini menetap di Semenanjung.
Langkah ini penting bagi memastikan dokumen rasmi sentiasa dalam format terkini dan diiktiraf untuk urusan rasmi kerajaan mahupun swasta.
Sumber: Mendra Edin
FT Image: koleksioldskool / BERNAMA
