Anak alami pseudo autism akibat pendedahan skrin berlebihan pada usia awal kini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin banyak dilaporkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang terdedah kepada penggunaan gajet tanpa pemantauan ibu bapa.
Dalam satu kisah yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, seorang ibu menceritakan bagaimana anaknya mengalami gejala mirip autisme selepas terdedah kepada skrin hampir setiap hari sejak kecil.
Baca juga: Memang Selalu ‘Mengaum’ Bila Jaga Anak Lelaki, Tapi Tak Sangka Kelebihan Ini Buat Hati Tenang…
ANAK ALAMI PSEUDO AUTISM, IBU AYAH MENYESAL BAGI GAJET

Freepik
Menurut si ibu, mereka pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa yang luar biasa terhadap perkembangan anak mereka. Malah, mereka percaya bahawa anak lelaki memang cenderung untuk lambat bercakap berbanding anak perempuan.
Apabila anak mula menunjukkan kecenderungan kepada telefon pintar dan kandungan video seperti YouTube, mereka menganggap itu satu kelebihan.
Hal ini kerana mereka beranggapan akan memudahkan urusan harian terutamanya apabila perlu memasak, bekerja, atau menguruskan hal rumah tangga. Maka, gajet menjadi “penjaga senyap” anak mereka.
Namun, beberapa bulan kemudian, pasangan ini mula menyedari sesuatu yang tidak kena. Ali tidak memberikan respon apabila dipanggil, tidak melakukan kontak mata dan sukar memahami arahan mudah.
Rasa bimbang akhirnya membawa mereka kepada pakar kanak-kanak untuk mendapatkan kepastian. Setelah menjalani penilaian, pakar memaklumkan bahawa anak mereka tidak mengalami autisme sebenar, tetapi menunjukkan simptom yang menyerupai autisme, dikenali sebagai pseudo autism.
Keadaan ini berpunca daripada pendedahan kepada skrin yang berlebihan ketika otak masih berada dalam fasa perkembangan kritikal.

Freepik
Menurut pakar, pada usia awal kanak-kanak, otak berkembang dengan pesat melalui interaksi sosial, pergerakan fizikal, serta komunikasi dua hala. Pendedahan yang terlalu banyak kepada skrin boleh mengganggu proses semula jadi ini, lalu menjejaskan tumpuan, kemahiran bahasa, dan keupayaan sosial.
Selepas menerima diagnosis, ibu bapa Ali mengambil langkah drastik untuk memperbaiki keadaan. Mereka mengehadkan masa skrin, memperbanyakkan aktiviti bermain bersama anak, serta menghantar Ali ke sesi terapi perkembangan bahasa dan sosial.
Hasilnya, perubahan positif mula kelihatan kerana Ali menunjukkan respon yang lebih baik, mula memahami arahan dan kembali berinteraksi secara lebih terbuka.
Kisah ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua ibu bapa bahawa kemudahan teknologi tidak seharusnya menggantikan interaksi sebenar dalam proses tumbesaran anak.
Baca juga: Anak 4 Tahun Alami Kencing Berdarah & Muka Jadi Gelap, Makanan & Minuman Berwarna Jadi Punca
Sumber: TikTok
