Kisah hidup seorang anak yatim piatu, Nur Arissa binti Abdul Rahman, 20 tahun, membuktikan bahawa dugaan hidup tidak pernah menjadi penghalang untuk seseorang mengejar cita-cita.
Kisahnya kini mendapat perhatian ramai selepas berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Utara Malaysia!
ANAK YATIM PIATU KERJA KILANG SARA HIDUP NAK MASUK UNIVERSITI

Foto: Arrisa bersama cikgu yang sangat banyak membantunya, Cikgu Rahimah binti Ayut.
Seawal usia sembilan tahun, Arissa kehilangan ibu tersayang, Salmah binti Harun, akibat kanser ovari. Belum sempat luka itu sembuh, ketika berusia 17 tahun, ayah tirinya pula meninggal dunia. Sejak itu, gadis asal Kuala Krai, Kelantan ini bersama kakaknya hidup sebagai yatim piatu. Walaupun kakaknya sudah berkahwin, keadaan keluarga tetap serba kekurangan.
Namun, dalam kesempitan hidup dan rasa sunyi tanpa insan tersayang, Arissa tetap menggenggam impian untuk melanjutkan pelajaran. Keputusan STPM dengan PNGK 3.58 melayakkannya menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Selepas tamat STPM, Arissa berhijrah ke Klebang, Ipoh untuk bekerja di sebuah kilang sebagai pemeriksa cip. Hampir enam bulan dia bertahan dalam kerja itu, mengikat perut, berpanas dan berhujan semata-mata untuk mengumpul wang yuran pengajian.
“Alhamdulillah suasana kerja baik. Saya kerja hanya untuk sambung belajar. Itu saja tujuan saya,” luahnya penuh kesungguhan.
Keajaiban…Bantuan Tiba di Saat Genting, Dibiayai Seluruh Pengajian!

Perancangannya mudah: tunggu gaji, kemudian daftar masuk UUM pada bulan Oktober. Namun, pada malam 24 September, sehari sebelum pendaftaran pelajar baharu, nasib Arissa berubah apabila bekas gurunya, Cikgu Rahimah dari SMK Sultan Yahya Petra 2, menghubungi pihak universiti untuk menceritakan kisah anak muridnya itu.
Panggilan itu disambut Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEPA) UUM. Kisah Arissa segera mendapat perhatian, dan beliau dihubungi sendiri oleh pihak universiti.
Arissa tidak merayu simpati, sebaliknya hanya meluahkan hasrat tulus “Kalau UUM izinkan, saya nak masuk bulan ini juga. Saya tak nak tunggu lagi..”
Akhirnya, pada 27 September, Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin, sendiri turun ke Klebang, Ipoh untuk menjemput Arissa ke Sintok. Dengan doa, semangat dan segenggam harapan, dia melangkah ke dunia baru di UUM.
Tidak lama selepas itu, doa Arissa dijawab. Seorang wanita dermawan dari Negeri Sembilan tampil membiayai keseluruhan pengajian Arissa dengan penuh keikhlasan. Beberapa lagi penyumbang turut menghulurkan derma sebagai sokongan awal. Sumbangan ini difasilitasi oleh pihak HEPA UUM yang sedar, di sebalik pencapaian akademik mahasiswa, ada kisah getir yang jarang terlihat di mata masyarakat.
Bagi Arissa, bantuan itu bukan sekadar wang, tetapi bukti bahawa Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya berjuang sendirian. Air mata yang sebelum ini gugur kerana rindu dan duka, kali ini mengalir sebagai tanda syukur. Syabas anak muda!
Sumber: Universiti Utara Malaysia
