Sukarelawan termuda flotila ke Gaza, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, membuktikan usia muda bukan penghalang untuk berjuang demi kemanusiaan. Baru berusia 25 tahun, keberaniannya menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dianggap sebagai jawapan daripada Allah SWT setelah sekian lama berdoa agar diberi peluang menjejakkan kaki ke bumi Palestin.
“Saya memang nak pergi sangat ke sana sebab selalu berdoa kepada Allah SWT untuk jemput saya ke bumi Palestin. Jadi, saya terus setuju untuk sertai misi waktu terima tawaran kerana ia macam satu ‘mesej’ daripada Allah SWT buat saya memandangkan Dia juga gerakkan hati untuk turut serta,” katanya.
Baca juga: Pasukan Berkuda Muda Malaysia Kelima Terbaik Dunia Di Romania & Dinobatkan ‘The Best Team’!
SUKARELAWAN TERMUDA KE GAZA, ANAK JATI NEGERI SEMBILAN

Instagram @haroqs
Haroqs, anak jati Negeri Sembilan, menjadi antara 34 sukarelawan Malaysia yang terpilih menyertai pelayaran itu. Penyertaannya sebagai salah seorang peserta paling muda menarik perhatian ramai, malah mendapat sokongan warga maya yang kagum dengan semangatnya.
Beliau mendedahkan, panggilan untuk menyertai misi diterima pada 12 Ogos lalu. Meskipun ketika itu kesihatan tubuhnya kurang baik, Haroqs tetap yakin untuk menerima peluang berharga itu kerana niat ke Gaza sudah lama dipendam.
“Waktu dapat panggilan, keadaan badan saya tak berapa elok kerana solat pun duduk tapi bila dapat panggilan, sudah tentu berat untuk tolak kerana memang berhajat ke sana,” ujarnya.
Sebelum ini, Haroqs pernah berkhidmat dalam pelbagai misi kemanusiaan di Syria, Turkiye, Lubnan, Jordan dan Afghanistan melalui kerjasama dengan badan NGO seperti Cinta Salam Syria Malaysia serta FI Childrity. Namun, baginya misi kali ini adalah yang paling besar dan bermakna kerana ia bukan hanya soal bantuan kemanusiaan, tetapi juga peluang untuk berdakwah.
Baca juga: Pengiktirafan Membanggakan! Empat Pensyarah UUM Tersenarai Antara 2% Saintis Terbaik Dunia
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu bersama delegasi Malaysia berlepas ke Sepanyol pada 27 Ogos lalu. Namun, pelayaran ke Gaza sempat tertangguh hampir seminggu akibat kerosakan kapal sebelum akhirnya berjaya disambung semula dari perairan Greece.
“Alhamdulillah, keluarga terutama emak (Rashidah Nor Mohd Nordin, 53) dan ayah (Adzrami Mohd Zamri, 53) restu hasrat saya nak menyertai misi ini malah mereka juga yang hantar ke lapangan terbang tempoh hari.
“Emak dan ayah pesan kepada saya untuk berhati-hati dan paling penting, jangan tinggal solat,” jelas Haroqs yang kini turut bekerja sebagai juruvideo bebas.
Beliau menegaskan, kejayaan misi ini bukan hanya bergantung kepada sukarelawan di atas kapal semata-mata, tetapi hasil doa dan sokongan semua pihak.
“Misi ini bukan hanya membabitkan kami di atas kapal tapi kita semua cuma setiap orang berlainan caranya. Jadi selagi boleh, saya akan teruskan dan marilah kita berdoa sebanyak mungkin dengan harapan misi ini berjaya.
“Apa pun, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan dan tak tahu berapa hari akan sampai ke Gaza kerana buat masa ini, kami masih berada di perairan Greece,” katanya yang kini menetap di Putrajaya.
Baca juga: Kerana Datuk Ada Darah Tinggi, Murid 7 Tahun Cipta ‘PotaSorb’ & Raih Emas Di Pentas Inovasi Dunia!
Sumber: Harian Metro / Instagram @haroqs
FT Image: Instagram @haroqs
