Ramai mungkin mengenali Haroqs sebagai pencipta kandungan visual dan jurugambar berbakat. Namun siapa sangka dron Haroqs yang dipercayai menjadi antara sumber pendapatannya sanggup ‘dikorbankan’ demi misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
DRON HAROQS DIINFAK UNTUK MISI GSF 2.0, RAKAMAN JADI BUKTI DUNIA

Dron RM15,000 digunakan pantau kapal dari jauh
Perkara itu didedahkan aktivis kemanusiaan, Dr Taufiq Raziff menerusi satu hantaran di Threads apabila beliau berkongsi pengorbanan yang dibuat peserta misi GSF 2.0, Haroqs atau nama sebenarnya Muhammad Hareez Adzrami.
Menurut Dr Taufiq, ramai tidak mengetahui Haroqs sanggup menginfakkan dron miliknya yang dianggarkan bernilai RM15,000 demi membantu misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
“Dia infaq dron berharga RM15,000 untuk misi ini. Jadi dia terbangkan dron itu untuk tengok kapal pengganas Zionis dari jauh,” tulisnya.
Dr Taufiq turut menjelaskan bahawa perkataan ‘infaq’ yang dimaksudkan bukan sekadar menyumbang aset, sebaliknya Haroqs dikatakan sudah bersedia untuk kehilangan dron tersebut sekiranya berlaku sebarang risiko sepanjang misi.
“Nota penting: Infaq itu maksudnya dia korbankan drone ni untuk misi sebab kalau dipintas dia akan campak ke laut juga drone ni supaya pengganas Z tak dapat maklumat sensitif dalam drone tu,” tulisnya lagi.
Rakaman dron Haroqs sempat merakam detik cemas

Dalam masa sama, dron tersebut sempat merakam beberapa detik-detik cemas sebelum kapal Alcyone yang membawa beberapa peserta GSF 2.0 termasuk dua rakyat Malaysia iaitu Haroqs dan Chin, dipintas.
Rakaman itu dikatakan digunakan untuk memantau pergerakan kapal tentera Israel dari jarak jauh ketika misi berlangsung, selain didakwa berpotensi menjadi dokumentasi penting berkaitan situasi yang berlaku di perairan antarabangsa.
Malah, ada pihak menyifatkan visual tersebut boleh menjadi antara bahan rujukan dalam sebarang prosiding antarabangsa sekiranya diperlukan pada masa depan.
@haroqscrazyUpdate interception situation♬ Powerful songs like action movie music – Tansa
Pengorbanan punca rezeki, buat ramai tersentuh

Perkongsian Dr Taufiq turut mengundang perhatian ramai apabila beliau percaya dron tersebut mungkin menjadi antara sumber utama pendapatan Haroqs sebagai jurugambar.
Namun, menurutnya, pengorbanan itu menjadi lebih bermakna apabila seseorang sanggup melepaskan sesuatu yang sangat bernilai demi tujuan lebih besar.
“Saya percaya drone itu dia guna sebagai income utama dia as photographer..tapi infaq itu jadi sangat bernilai bila kita infaq apa yang kita paling cintai. Saya rasa dia faham sangat benda ini. Semoga Allah terima ya,” tulisnya lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Sumud Nusantara Official memaklumkan semua bot dilaporkan telah dipintas dan pihak mereka sedang menunggu maklumat lanjut mengenai peserta misi GSF 2.0 yang menuju ke Gaza.

Berikut merupakan salah satu visual yang dirakam oleh dron Haroqs sepanjang misi GSF 2.0.
@haroqscrazyStandby♬ Montagem Rave Eterno – Dj Samir & Fyex
Sumber: Threads @drtaufiqraziff / Instagram Haroqs
FT Image: TikTok @haroqscrazy
