Euforia Bola 2026
Kerjaya

“Dapat 3 Kredit SPM Dah Boleh Jadi Nurse? Seriuslah?”- Turunkan Syarat, KKM Dipersoal Jatuhkan Standard Jururawat

jururawat malaysia

Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan syarat kelayakan kemasukan jururawat Malaysia daripada 5 kredit SPM kepada hanya 3 kredit nyata mengundang pelbagai persoalan.

Mungkin tujuannya untuk menarik lebih ramai lagi calon-calon lepasan SPM untuk bekerja sebagai jururawat namun apa yang merisaukan oleh ramai adalah, kerjaya ini bukan mudah!

Baca juga: 10 Jenis Doktor Pakar Dapat Gaji Lumayan Di Malaysia, No.3 Boleh Cecah RM60K Sebulan!

KELAYAKAN MASUK JADI JURURAWAT MALAYSIA DIRENDAHKAN KE ‘HANYA 3 KREDIT SPM’?

jururawat malaysia

Foto: Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad

Rasionalnya difahami kerana Malaysia sedang berdepan kekurangan jururawat apabila ramai yang menamatkan kontrak lalu memilih untuk bekerja di luar negara seperti Arab Saudi, UK dan Dubai. Faktor gaji lebih tinggi, jadual kerja lebih teratur, serta penghargaan yang setimpal membuatkan profesion jururawat lebih dihargai di sana berbanding di tanah air.

Namun, adakah menurunkan standard akademik benar-benar jalan penyelesaian? Menurut Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, profesion jururawat bukan sekadar memenuhi kuota. Mereka adalah insan pertama yang berada di sisi pesakit, sama ada ketika kecemasan, kemalangan, melahirkan anak, atau berdepan serangan jantung.

Jika ‘tapisan awal’ terlalu longgar, risiko kecuaian perubatan pasti meningkat. Hakikatnya, kesilapan dalam bidang kesihatan boleh membawa maut. Menurunkan syarat hanya demi angka bukan sahaja membahayakan nyawa rakyat, malah merendahkan martabat profesion itu sendiri.

Jururawat ‘Penjaga Nyawa’, Masalah Sebenar Bukan Pada SPM

jururawat malaysia

Foto: South China Morning Post

Rakyat Malaysia kini semakin berpendidikan, malah keputusan SPM saban tahun menunjukkan pencapaian yang baik. Maka, isu sebenar bukanlah kerana calon tidak mampu capai 5 kredit. Sebaliknya, punca utama jururawat memilih untuk berhijrah ialah:

  • Gaji dan elaun yang rendah
  • Beban kerja melampau, termasuk double shift
  • Penempatan tidak jelas dan tidak teratur
  • Kurang pengiktirafan dan ruang kerjaya

Selagi isu asas ini tidak ditangani, jururawat akan terus mencari peluang lebih baik di luar negara, walau apa pun syarat kemasukan ditetapkan.

Tambah Dr. Ahmad lagi, jika KKM benar-benar mahu menyelesaikan masalah kekurangan jururawat, langkah yang lebih berkesan ialah:

  • Mengekalkan syarat minimum 5 kredit SPM dengan subjek Sains wajib lulus.
  • Menambah jumlah intake kolej kejururawatan, diiringi dengan fasiliti moden serta tenaga pengajar yang berkualiti.
  • Mewujudkan jawatan sokongan seperti Pembantu Jururawat atau Jururawat Masyarakat bagi meringankan beban kerja frontline.
  • Menyusun semula sistem penempatan agar lebih jelas dan terancang.
  • Menaikkan gaji dan elaun, khususnya elaun kerja malam, agar sepadan dengan tanggungjawab berat yang dipikul.

Perlu diingat, jururawat yang dilatih ini bukan hanya berkhidmat di hospital kerajaan, malah akan berkhidmat di swasta, klinik, atau berhijrah ke luar negara. Jika sistem kita terlalu longgar, Malaysia bukan sahaja rugi dari segi kualiti tenaga kerja, malah turut tercalar imej dan maruah negara.

Baca juga: 7 Pekerjaan Gaji Paling ‘Masyuk’ Dan ‘Laku Keras’ Di Malaysia, Kalau Layak Boleh Cuba…

Sumber: Dr. Ahmad Fadhzil Mohamad

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×