Hidangan ikan bilis bawang tiba-tiba menjadi buah mulut ramai selepas penyanyi dan pelakon Amira Othman menyediakan untuk suaminya, Fattah Amin. Apa yang asalnya sekadar lauk sederhana kini mencetuskan fenomena apabila ramai warga maya cuba meniru resipi berkenaan.
Semuanya bermula apabila satu klip siaran langsung di TikTok memperlihatkan Fattah Amin merakam isterinya sedang memasak.
RESIPI IKAN BILIS BAWANG CARA AMIRA OTHMAN

Dalam rakaman itu, dapat dilihat Amira sedang memasak lauk tersebut di ruang dapur rumah penginapan mereka. Berikut resipinya:
- Tumis bawang merah yang dihiris nipis dengan sedikit minyak hingga naik bau.
- Masukkan cili api jika ingin rasa pedas.
- Tambahkan ikan bilis yang telah digoreng garing dan gaul sebati.
- Setelah bahan-bahan tadi layu, tutup api dan tuang di atas telur goreng.
- Jika suka, boleh tambahkan kicap (Amira tidak menggunakannya kerana tidak menemui kicap di Switzerland).
Tidak sampai beberapa jam selepas video itu dimuat naik oleh warga maya di beberapa platform media sosial dan tular, ruangan komen dihujani pelbagai reaksi.
Ada yang terus mencuba resepi berkenaan, malah ada yang menambah bahan lain seperti petai untuk mempelbagaikan rasa.
“Penangan seorang bernama Amira Othman… lain betul auranya. Padahal resepi itu ringkas sahaja tetapi ramai yang terliur. Memang suka masakan simple tetapi sedap!
“Saya pun sama, disebabkan tengok Amira Othman masak bawang bilis… terus cuba buat juga, cuma saya tambah petai.
“Masa Fattah Amin kahwin tempoh hari, ramai isteri teruja sampai tidak memasak. Sekarang Amira masak lauk ringkas pun, semua ikut tiru. Kelakar betul! Rasanya satu Malaysia masak lauk ini minggu ini.
“Inilah resepi viral bulan ini,” komen beberapa warga maya.
Fenomena ini jelas menunjukkan bagaimana pengaruh seorang selebriti boleh mencetuskan trend walaupun hanya dengan menu harian biasa. Malah, di laman Threads, warga maya turut berkongsi video mereka sendiri memasak ikan bilis bawang selepas “terpengaruh” dengan Amira.

Tangkap layar warga maya yang telah terpengaruh dengan hidangan ringkas tersebut.
Baca juga: Resipi Ikan Masak Kicap Istimewa Campur Rempah, Tak Menyesal Cuba Aromanya Pasti Buat Terliur!
Sekadar mengimbas, pasangan ini Amira Othman dan Fattah Amin baru sahaja melangsungkan perkahwinan di Golden Palm Trees, Sepang, Selangor dengan dihadiri rakan artis antaranya Ernie Zakri, Hawa Rizwana, Anzalna Nasir dan Nabila Razali.
Bagi Fattah, ini merupakan perkahwinan keduanya selepas berpisah dengan Fazura pada tahun lalu.
Siapa sangka, hanya dengan resipi ringkas ikan bilis bawang, nama Amira Othman sekali lagi menjadi perhatian, membuktikan aura seorang pengantin baru memang lain macam!
Baca juga: Tular Resipi Cucur Ayam Bebas Gluten, Ramai Anak Kata Sedap Macam Nugget, Minta Hari-Hari Nak Makan!
Sumber: TikTok @aofaforever
