Positif dadah jenis syabu, seorang wanita berusia 28 tahun yang baru tiga bulan melahirkan anak sulung ditahan dalam serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah. Wanita terbabit dicekup bersama suaminya berumur 30 tahun di rumah sewa mereka di Kampung Selamat, Ayer Putih sekitar jam 10 pagi.
Tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Cegah Khas 3.0 AADK Kedah pada Isnin.
Baca juga: Tragedi Duka Selepas Cuti Penggal, Ibu Maut Kemalangan Semasa Hantar Anak 5 Tahun Ke Sekolah!
POSITIF DADAH SYABU, WANITA BARU 3 BULAN BERSALIN DITAHAN!

Gambar oleh Zuliaty Zulkiffli: Wanita yang baru tiga bulan bersalin anak sulung dan suaminya yang ditahan kerana positif dadah.
Ketika serbuan dijalankan, pasangan berkenaan sedang tidur bersama bayi lelaki mereka di dalam rumah.
Menurut wanita itu, dia mengaku mengambil dadah sehari sebelum ditahan selepas menerima bekalan daripada rakan-rakan yang datang ke rumah.
“Saya menagih dadah sebelum berkahwin malah bekas suami pertama dulu juga penagih dadah dan suami kedua ini juga penagih.
“Ketika waktu berpantang, saya ditahan namun hasil ujian saringan air kencing mendapati saya bebas dadah dan dibebaskan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad, memaklumkan operasi yang dijalankan semalam berlangsung serentak di 11 daerah, termasuk Pendang yang dikenal pasti sebagai antara kawasan transit serta laluan sempadan bersama Kota Setar, Padang Terap, Yan dan Kuala Muda.
Beliau berkata, corak penagihan kini berubah apabila pengguna tidak lagi berkumpul di port tertentu, sebaliknya membeli bekalan secara panggilan atau melalui kaedah pandu lalu (drive thru).
“Operasi ini bertujuan untuk mengesan secara maksimum orang yang disyaki sama ada membabitkan penagih baru, gagal hadir jamin, langgar syarat dan banyak lagi kesalahan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Hari ini (semalam) kita menyasarkan daerah Pendang. Dari Januari hingga Jun, daerah ini mencatatkan jumlah tangkapan penagih tertinggi yang merujuk kadar penyalahgunaan dadah di seluruh Malaysia,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, sepanjang tahun ini AADK Kedah telah menjalankan 339 operasi merangkumi 11 daerah, dengan 2,965 individu ditahan termasuk penagih baharu serta mereka yang ingkar syarat.
“Dalam operasi hari ini (semalam), seramai 11 individu ditahan, 10 daripadanya lelaki dan seorang wanita, dipercayai penagih dadah.
“Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Baca juga: Penceramah Bebas Dihukum 15 Tahun Penjara & Sebatan, Akibat Perbuatan Rogol Mangsa 13 Tahun!
Sumber: Harian Metro
FT Image: Zuliaty Zulkiffli
