Seorang pelajar Tingkatan Lima yang merupakan calon SPM 2025 serta bakal menduduki peperiksaan besar itu dikesan positif dadah jenis ketamin selepas pulang bercuti dari Thailand.
Nampaknya musim cuti sekolah mereka kali ini ‘terisi’ dengan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada hidup masing-masing!
CALON SPM 2025 POSITIF DADAH LEPAS BALIK ‘BERSUKA RIA’ DI THAILAND

Foto: AADK
Menurut laporan, remaja berusia 17 tahun itu ditahan bersama tiga rakannya oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada jam 3.45 petang, pada Selasa.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata hasil ujian saringan awal mendapati kesemua remaja terbabit positif ketamin dipercayai diambil ketika berhibur di negara jiran.
“Siasatan mendapati pelajar itu menghisap rokok yang dicampur bahan terlarang bersama rakannya ketika berada di Thailand. Dia mengaku mencuba dadah kerana tekanan hidup dan rasa ingin tahu,” jelasnya.
Lebih menyedihkan, remaja itu merupakan anak tunggal yang tinggal bersama datuk dan nenek di Pulau Pinang selepas ibu bapanya berpisah sejak dia berusia sembilan tahun. Malah, dia juga mengakui sudah pernah mengambil dadah yang sama pada kunjungan terdahulu ke Thailand.
Apa itu jenis dadah ketamin?

Foto: Canva
Ketamin pada asalnya adalah ubat bius yang digunakan dalam bidang perubatan dan veterinar. Namun, ia sering disalahgunakan kerana memberi kesan halusinasi, rasa terasing daripada realiti, euforia sementara serta mengkhayalkan penggunanya.
Ketamin yang digunakan secara haram dalam bentuk serbuk ini juga boleh menjejaskan fungsi otak, melemahkan ingatan, menyebabkan kehilangan kawalan emosi dan memberi kesan sampingan berbahaya kepada tubuh termasuk risiko ketagihan.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan, enam remaja berusia 17 hingga 19 tahun ditahan atas kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Khairul Anwar menegaskan bahawa pihak AADK akan mempergiatkan lagi pemantauan dan operasi di pintu masuk sempadan negara bagi mengekang penyeludupan serta penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan golongan muda.
*Nampaknya masa depan calon SPM ini pun sudah kian pudar…
Baca juga: Tragedi Bun*h Guru, Remaja Naik Angin DIPAKSA Belajar Jadi Punca Habiskan Nyawa Ibu & Abang
Sumber: Sinar Harian
