Euforia Bola 2026
Inspirasi

Pengiktirafan Membanggakan! Empat Pensyarah UUM Tersenarai Antara 2% Saintis Terbaik Dunia

pensyarah UUM

Universiti Utara Malaysia (UUM) terus membuktikan keupayaan melalui pencapaian empat orang tenaga pengajarnya yang berjaya berada dalam kelompok 2% saintis terbaik dunia. Pengiktirafan terhadap para pensyarah UUM ini, sekali gus telah mengangkat nama universiti tersebut ke peringkat yang lebih tinggi serta membanggakan seluruh warga kampus.

Baca juga: Kerana Datuk Ada Darah Tinggi, Murid 7 Tahun Cipta ‘PotaSorb’ & Raih Emas Di Pentas Inovasi Dunia!

EMPAT PENSYARAH UUM ANTARA 2% SAINTIS TERBAIK DUNIA

pensyarah UUM

Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki (kiri) dan Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi (kanan).

Mereka yang terpilih adalah:

  1. Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB)
  2. Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM)
  3. Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah dari Pusat Pengajian Teknologi Pengurusan dan Logistik (STML)
  4. Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM)

Menurut Prof. Ts. Dr. Norazah, pencapaian kali ini merupakan kesinambungan konsistensinya dalam dunia penyelidikan.

“Tahun ini merupakan penampilan saya yang ketujuh berturut-turut dalam Senarai 2% Teratas Saintis Dunia sejak 2019. Ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi pengaruh serta kepimpinan berterusan saya dalam bidang pengkhususan ini.

“Di samping usaha dan disiplin diri, saya amat bersyukur kerana dikelilingi oleh ekosistem yang menyokong daripada pihak universiti, rakan penyelidik, pelajar pascasiswazah dan keluarga,” katanya.

Baca juga: Muhammad Izzuddin Usia 16, Cipta Sejarah Anak Orang Asli Pertama Hafiz Al-Quran, Bakar Semangat Orang Ramai!

pensyarah UUM

Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah (kiri) dan Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah (kanan).

Bagi Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi pula, kejayaan ini adalah hasil gabungan usaha bersama pelbagai pihak, bukan semata-mata pencapaian individu.

“Pengiktirafan ini merupakan cerminan daripada hasil usaha berpasukan, sokongan dan dorongan berterusan yang saya terima daripada rakan penyelidik, para pelajar, penulis bersama (co-authors) serta rakan kolaborasi (collaborators) yang sentiasa berganding bahu dalam menerbitkan penyelidikan berkualiti,” jelasnya.

Beliau turut menambah, pengiktirafan itu merupakan amanah untuk terus menghasilkan penyelidikan yang relevan, berimpak tinggi dan memberi manfaat bukan sahaja kepada dunia akademik, bahkan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan berprestij tersebut.

“Kejayaan ini adalah bukti bahawa warga akademik UUM berupaya menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia yang memberi impak positif kepada masyarakat, industri dan negara. Universiti akan terus menyokong usaha penyelidikan agar lebih ramai lagi sarjana UUM mendapat pengiktirafan di pentas global.

“Saya berharap kejayaan ini juga menjadi inspirasi kepada para penyelidik muda untuk terus berusaha gigih mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing,” katanya.

Baca juga: [VIDEO] Baru Darjah 2 Tapi Jurus Tari Bagaikan Pendekar, Adrean Dinobatkan Johan Acara Silat!

Sumber: UUM Today

FT Image: BERNAMA / UUM Today

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×